Wanita di Jepun perlu berjuang untuk berkaca mata ke tempat kerja
Agensi
November 10, 2019 11:19 MYT
November 10, 2019 11:19 MYT
Kaum wanita di Jepun menyuarakan rasa tidak puas hati selepas mereka dilarang memakai cermin mata ke tempat kerja.
Rasa tidak puas hati itu turut disuarakan menerusi platform Twitter sehingga menjadi topik yang trending dengan #glassesareforbidden.
Satu ciapan di Twitter menulis bahawa larangan itu sudah ketinggalan zaman selain ada yang menggelarkan majikan mereka sebagai dungu.
Seorang pekerja di restoran memberitahu, majikannya sudah berulang kali melarangnya mengenakan cermin mata atas alasan ia kelihatan tidak sopan selain tidak sesuai digayakan dengan kimono.
“Jika larangan itu dikenakan ke atas wanita sahaja, ini ternyata satu diskriminasi terhadap wanita,” kata Kanae Doi, seorang pengarah di Human Rights Watch.
Dalam pada itu, ada yang menyatakan mereka tidak selesa mengenakan kanta lekap dan ia mengakibatkan jangkitan teruk.
“Jika memakai cermin mata menjadi masalah kepada wanita, seharusnya larangan turut dikenakan kepada kaum lelaki juga, barulah adil,” kata mereka.