'Wanita Debu' ikon tragedi 9/11 akhirnya maut akibat barah
Agensi
Ogos 26, 2015 20:22 MYT
Ogos 26, 2015 20:22 MYT
Seorang wanita yang terkenal kerana rakaman imejnya yang dilitupi debu dalam tragedi runtuhnya bangunan World Trade Centre di New York pada 11 September 2001 akhirnya maut akibat barah perut pada Isnin, lapor portal berita New York Post.
Marcy Borders, 42, turut digelar sebagai ‘The Dust Lady’ atau ‘Wanita Debu’ kerana sekeping foto berkenaan dan secara tidak langsung dirinya diangkat sebagai ikon orang yang terselamat daripada tragedi berkenaan.
Sewaktu gambarnya diambil, bekas pekerja Bank of America itu dalam keadaan menggeletar dan terkejut dengan rentetan kejadian menakutkan tersebut.
Wanita berasal dari New Jersey itu baru sahaja memulakan tugas ketika sebuah pesawat menghentam menara utara bangunan berkenaan hingga mengakibatkan letupan besar, kebakaran dan kemudiannya meruntuhkan struktur bangunan.
Ketika menara utara itu runtuh, terdapat seorang yang menariknya ke bahagian lobi bangunan dan ketika itulah imejnya dirakamkan untuk siaran ke seluruh dunia.
Terdapat media tempatan yang melaporkan bahawa Borders pernah mendakwa diagnosis barahnya adalah berpunca daripada menyedut udara penuh toksik dalam tragedi tersebut.
Borders dalam satu wawancara dengan wartawan pernah menyatakan: “Saya sangat yakin mengenai punca barah ini kerana saya tidak pernah mendapat sebarang penyakit. Saya tidak ada tekanan darah tinggi, masalah kolesterol atau diabetes”.
Sejak peristiwa 11 September itu, saya tidak bekerja selama hampir 10 tahun dan menjelang tahun 2011 hidup saya benar-benar sukar. Setiap kali saya terpandang pesawat, saya panik,” katanya.
Sementara itu, anaknya Noelle Borders memberitahu bahawa ibunya telah melalkui satu perjuangan besar dalam hidup.
“Ibu saya telah melawan sebuah ‘pertempuran’ yang hebat,” ujarnya.