Wanita dan bayi lemas, 30 lain masih hilang bot pelarian karam

Astro Awani
Ogos 7, 2023 09:45 MYT
Antara pelarian yang berjaya diselamatkan pengawal pantai Itali di Pulau Lampedusa. - Foto REUTERS
ROM: Sekurang-kurangnya dua maut manakala lebih 30 lagi dilaporkan hilang selepas dua bot menbawa pelarian karam di perairan berdekatan dengan pulau Itali, Lampedusa.
Kedua-dua bot berkenaan dipercayai berlepas dari bandar Sfax di Tunisia dan masing-masing membawa 48 dan 42 penumpang.
Pengawal pantai Itali berkata mereka telah menemui dua mayat iaitu wanita warganegara Ivory Coast bersama bayinya berusia setahun.
Setakat ini pengawal pantai Itali berjaya menyelamatkan 57 pelarian selepas bot mereka karam pada Sabtu, kira-kira 46 kilometer di selatan Lampedusa.
Sebelum itu agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih 30 individu dilaporkan hilang.
Dalam insiden berasingan, pegawai Tunisia berkata mereka menemui mayat 10 pelarian di kawasan pantai berdekatan dengan Sfax.
Mayat berkenaan ditemui antara Jumaat dan Sabtu ketika angin kencang melanda negara itu, memetik laporan agensi berita AFP.
Siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti warganegara kesemua mayat yang ditemui itu. - Agensi
#bot pelarian #karam #bayi #pengawal pantai Itali
;