Wanita dakwa dirogol Mike Tyson dalam limousin
Sinar Harian
Januari 25, 2023 16:30 MYT
Januari 25, 2023 16:30 MYT
NEW YORK: Seorang wanita di New York telah memfailkan saman terhadap bekas juara tinju, Mike Tyson yang didakwa merogolnya dalam sebuah kenderaan limousin pada awal tahun 1990-an.
Wanita yang identiti dirahsiakan memfailkan aduannya pada awal Januari lalu di di bawah undang-undang sementara negeri New York yang membenarkan mangsa serangan seksual mendapatkan ganti rugi sivil tanpa mengira statut pengehadan.
Tyson pernah menghabiskan hukuman penjara selama tiga tahun pada tahun 1992 selepas didapati bersalah merogol seorang model, Disiree Washington yang ketika itu berumur 18 tahun.
Dalam afidavit ringkas bertarikh 23 Disember 2022, plaintif menyatakan bahawa dia bertemu dengan Tyson di kelab malam pada awal 1990-an dan kemudian mengikut pemain tinju itu ke limousin di mana dia diserang sebelum dirogol.
"Kesan dirogol Tyson, saya menderita dan mengalami kecederaan fizikal, psikologi dan emosi," katanya.
Wanita itu menuntut ganti rugi AS$5 juta (RM21.35 juta).
Namun sehingga Selasa, Tyson tidak mengeluarkan sebarang kenyataan awam.
Tyson yang dilahirkan di Brooklyn pernah menjadi juara tanpa dikalahkan pada tahun 1980-an dan menjadi petinju paling digeruni pihak lawan.
Bagaimanapun, selepas dihukum penjara, Tyson gagal mengekalkan kejuaraannya itu.
Dalam perlawanan paling diingati dalam sejarah tinju pada tahun 1996, Tyson menggigit telinga lawannya Evander Holyfield. - Sinar Harian/Agensi