Wanita China 'kahwin tipu-tipu' dengan warga Singapura dipenjara enam bulan

Agensi
Ogos 21, 2023 18:19 MYT
Cao Rongrong mengaku bersalah kerana melangsungkan perkahwinan untuk mendapatkan kelebihan dalam bentuk pas lawatan.
SINGAPURA: Seorang wanita dari China yang melangsungkan perkahwinan palsu dengan seorang lelaki warga Singapura untuk mendapatkan hak tinggal lebih lama di negara itu, dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada Isnin.
Cao Rongrong, seorang warga China berusia 30 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Imigresen kerana melangsungkan perkahwinan untuk mendapatkan kelebihan dalam bentuk pas lawatan.
Dia juga dituduh membuat kenyataan palsu berhubung permohonan pas lawatan.
Mahkamah mendengar bahawa Cao berkahwin dengan warga Singapura, Chen Weiyu, pada 9 Jul 2022.
Chen menerima S$6,000 (RM20,533) sebagai ganjaran untuk melangsungkan perkahwinan itu.
Semasa perkahwinan itu berlangsung, Cao dilaporkan sudah mempunyai teman lelaki.
Selepas perkahwinan dilangsungkan, Cao berjaya melanjutkan pas lawatan dengan berbohong dalam permohonannya.
Peguam bela berkata Cao mengalami tekanan dan gangguan kemurungan, sambil menambah Cao melalui "zaman kanak-kanak yang bermasalah".
Dalam reaksi balas, pendakwa raya bertegas bahawa Cao melakukan kesalahan itu "semata-mata atas sebab ekonomi".
Peguam berkenaan merujuk kepada laporan psikiatri wanita itu, yang mendapati dia dalam keadaan siuman ketika melakukan kesalahan tersebut.
Perkahwinan palsu, jika melibatkan suapan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$10,000 (RM34,256) atau kedua-duanya sekali.
#Singapura #perkahwinan #pas lawatan #warga china
;