Wanita cedera terkena 'bom ping pong' di Bangkok

Bernama
April 6, 2017 10:06 MYT
Anggota keselamatan memeriksa kawasan letupan dipercayai berpunca dari sebutir "Bom Ping Pong" yang meletup di hadapan bangunan lama loteri kerajaan di Jalan Ratchadamnoen, malam tadi. - Foto Bernama
Satu letupan kecil berlaku di hadapan bangunan lama Government Lottery di Jalan Ratchadamnoen di sini, menyebabkan seorang wanita mengalami kecederaan, demikian menurut seorang anggota polis di tempat kejadian.
Insiden berlaku pukul 8 malam tadi waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) dan polis percaya letupan itu disebabkan oleh 'bom ping pong', satu alatan kecil letupan yang mudah dipasang.
"Wanita yang bekerja sebagai kakitangan pembersihan bandar raya ini, hilang pendengaran seketika akibat bunyi letupan yang kuat.
"Dia sudah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan," demikian menurut polis.
Walaupun polis mengesyaki ia hanya 'bom ping pong', siasatan tetap dilakukan bagi memastikan punca sebenar insiden tersebut.
Sehingga kini, polis termasuk daripada unit Bahan Letupan, Ordnans dan Pelupusan masih berada di lokasi untuk mencari bahan bukti.
Ketua Polis Nasional, Jen Chaktip Chaijinda turut memeriksa lokasi letupan yang telah disita itu. -- BERNAMA
#Bangkok #Jen Chaktip Chaijinda #letupan #Thailand
;