Wanita cedera parah terjatuh ke dalam lubang benam panas
Sinar Harian
Julai 29, 2022 06:20 MYT
Julai 29, 2022 06:20 MYT
WELLINGTON: Seorang wanita warga Australia mengalami kecederaan parah selepas dia terjatuh ke dalam lubang benam yang panas di New Zealand ketika berjalan di laluan pejalan kaki baru-baru ini.
Wanita itu yang datang dari Perth sedang berjalan bersama suaminya ke Perkampungan Whakarewarewa di Rotorua di Pulau Utara New Zealand apabila laluan itu runtuh secara tiba-tiba.
Dia kemudian rebah dan mengalami kecederaan serius sebelum suaminya sempat menariknya keluar dari lubang tersebut.
Wanita itu dikejarkan ke sebuah hospital dan dikatakan berada dalam keadaan kritikal.
Suaminya turut mengalami kecederaan ringan.
Lubang berkenaan berukuran dua meter dan satu meter lebar serta sekurang-kurangnya satu meter dalam.
Kampung itu yang menjadi tarikan popular sebagai satu-satunya kampung penduduk asli Maori di negara tersebut telah ditutup kepada orang ramai.
Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu. - Sinar Harian memetik agensi