Wanita bunuh teman lelaki di Hari Kekasih demi kahwini bapa kandung
Agensi
Oktober 9, 2020 14:45 MYT
Oktober 9, 2020 14:45 MYT
CHARLESTON : Seorang wanita yang sanggup membunuh teman lelakinya demi untuk berkahwin dengan bapa kandungnya dihukum penjara 40 tahun.
Portal Fox 23 melaporkan, mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap Amanda Michelle Naylor McClure, 32, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat bersama bapanya, Larry McClure, 56, membunuh John Thomas McGuire, 38, pada Hari Kekasih tahun lalu di Skygusty, West Virginia.
Sementara bapanya pula dikenakan hukuman penjara seumur hidup manakala kakak kandungnya, Anna Marie Choudhary, 33, yang didakwa atas pertuduhan yang sama, masih dibicarakan.
Amanda Michelle yang dijatuhkan hukuman menerusi sidang video, memohon maaf kepada ibu John McGuire, Karen Smith, yang turut serta mendengar keputusan mahkamah yang berlangsung secara dalam talian itu.
"Saya melihat diri saya pada setiap hari. Keluarga saya tidak membesarkan saya begini. Saya bukan sahaja mengecewakan keluarga John, malah keluarga saya juga," katanya sebaik keputusan dibacakan oleh hakim.
Ia disusuli dengan permohonan maaf ibu bapa angkat Amanda Michelle, Allen and Gwen Holm.
"Saya mahu mohon maaf bagi pihak kami. Saya tidak dapat bayangkan keperitan yang dilakukan Smith," kata mereka.
Terdahulu, dalam pengakuannya, Amanda Michelle memberitahu, pada 14 Februari 2019, dia sengaja 'memasang perangkap' supaya mangsa datang ke rumahnya sebelum menyeksanya selama dua hari sambil memberi dadah jenis methamphetamine.
Selepas dibunuh, mayat mangsa ditanam di belakang rumahnya.
Amanda Michelle juga mengaku dia menggali keluar mayat bekas kekasihnya itu selepas enam hari dari tarikh pembunuhan dan mencincang mayat tersebut serta meletakkan cecair berasid untuk mempercepatkan proses pereputan.
Selepas pembunuhan itu, dua beranak itu sudah berkahwin di sebuah gereja namun si bapa menggunakan nama lelaki lain dalam dokumen perkahwinan mereka.
#perbicaraan dalam talian
#Hari Kekasih
#dua beranak
#mahkamah
#membunuh
#bersubahat membunuh
#membunuh dengan kejam
#mencincang mayat
#bapa kahwin anak