Wanita bunuh rakan, 'culik' bayi dalam kandungan dijatuhi hukuman mati
Astro Awani
November 12, 2022 10:50 MYT
November 12, 2022 10:50 MYT
HOUSTON: Seorang wanita dari Texas, Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita hamil berusia 21 tahun pada Oktober 2020 selain bertindak 'menculik' bayi yang dikandung mangsa.
Hukuman itu dikenakan ke atas Taylor Rene Parker pada Rabu oleh Mahkamah New Boston susulan perbicaraan yang berlangsung selama beberapa minggu bermula September lepas.
Menurut dokumen mahkamah, pada hari kejadian, Parker telah mengunjungi rumah rakannya, Reagan Simmons-Hancock, 21, yang sedang sarat mengandung pada 9 Oktober 2020 dan menikam mangsa lebih daripada 100 kali.
Dia kemudian membelah perut mangsa untuk mengeluarkan kandungan sebelum bertindak melarikan diri.
Parker ditahan polis tidak lama kemudian kira-kira 15 kilometer dari tempat kejadian bersama bayi berkenaan di atas ribanya.
Ketika itu Parker memberitahu pihak berkuasa yang dia baru sahaja melahirkan bayi itu.
Bayi tersebut dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Difahamkan sebelum kejadian, Parker pernah memberitahu teman lelaki serta saudara-mara yang dia sedang mengandung.
Malah, dia turut mengumumkan 'kehamilan'nya itu di media sosial.
Namun hakikatnya, Parker tidak mampu mengandung kerana telah menjalani pembedahan histerektomi.