Wanita boleh belajar di universiti tetapi perlu pengasingan jantina di bilik kuliah - Taliban
Astro Awani
September 12, 2021 06:28 MYT
September 12, 2021 06:28 MYT
TALIBAN mendakwa wanita Afghanistan boleh melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, tetapi dengan syarat perlu ada pengasingan jantina di dalam kelas.
Selain itu, cara pemakaian juga perlu mengikut kepada kod pemakaian yang ditetapkan, yang mungkin memerlukan golongan wanita menutup aurat sepenuhnya.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi dalam kerajaan sementara Taliban, Abdul Baqi Haqqani, keputusan itu dibuat selaras dengan hasrat mereka yang ingin membawa pembaharuan.
Katanya, Taliban tidak mahu berpatah balik kepada gaya pemerintahan pada 20 tahun lalu dan akan mula bergerak ke hadapan.
Menurut Abdul Baqi, pelajar perempuan seboleh mungkin akan diajar oleh pensyarah wanita dan tidak ada percampuran antara lelaki dan wanita di bilik kuliah.
"Syukur kepada Tuhan, kami mempunyai ramai guru wanita. Kami tidak akan menghadapi masalah dalam hal ini. Semua usaha akan dilakukan untuk mencari dan menyediakan guru wanita untuk pelajar perempuan," katanya pada sidang media di Kabul.
Bagaimanapun, wanita Afghan tetap dilarang melakukan akiviti sukan dan Taliban menggunakan kekerasan terhadap mereka yang menentang perkara itu.
Pada Sabtu, Taliban telah menaikkan bendera mereka di Istana Presiden, menandakan bermulanya sistem pemerintahan baru.
Pada hari sama, sekumpulan pelajar wanita yang menutup seluruh tubuh dari kepala hingga kaki, mengadakan demonstrasi di Kabul menyokong peraturan mengenai pakaian dan bilik kuliah yang berasingan.
Abdul Baqi berkata, dalam keadaan tiada guru wanita, langkah-langkah khas akan diambil untuk memastikan pengasingan.
"Jika benar-benar perlu, lelaki boleh mengajar wanita, tetapi ia mesti sesuai dengan syariah, di mana pelajar wanita harus memakai tudung," katanya.