Wanita baling selipar ke arah Presiden Indonesia, Jokowi
Gempak
Ogos 29, 2023 18:07 MYT
Ogos 29, 2023 18:07 MYT
SEORANG wanita ‘ditenteramkan’ oleh pengawal keselamatan dan pihak berkuasa tempatan di Sumut, Indonesia selepas nekad membaling Presiden Indonesia, Jokowi dengan selipar.
Selain melempar selipar, wanita dengan pengenalan nama RT berusia 45 tahun tersebut juga cuba mencurahkan air mineral ke arah Jokowi.
Insiden tersebut dirakamkan secara amatur oleh orang ramai dan menjadi tular di media sosial.
Menerusi laporan Viva.co.id, insiden tersebut berlaku sewaktu Jokowi hadir ke sebuah acara yang dikenali Rembuk Kemerdekaan di Gedung Serbaguna Astaka Pemprov Sumut pada 27 Ogos lalu.
Saat kejadian, Jokowi sedang beramah mesra dan bersalaman dengan rakyat sebelum RT dikatakan cuba menerobos barisan pengawal keselamatan yang bertugas menjaga presiden republik itu.
Dia kemudian menuang air mineral sebelum membaling kedua-dua selipar yang dipakai ke arah Jokowi. Namun perlakuan itu dapat dihalang oleh pengawal keselamatan yang menjaga keselamatan Jokowi.
Menurut beberapa laporan lain, wanita tersebut dilaporkan tidak berpuas hati dengan pihak polis selepas aduannya mengenai satu kes tidak mendapat keadilan sewajarnya.
Oleh yang demikian wanita itu cuba menyampaikan mesej tentang ketidakadilan dan layanan buruk yang diterima kepada Jokowi.
*Artikel disiarkan di Gempak