Wanita Arizona maut dilanggar kereta Uber pandu sendiri
Agensi
Mac 19, 2018 06:10 MYT
Mac 19, 2018 06:10 MYT
Sebuah kereta Uber bebas pemandu telah menyebabkan kematian seorang wanita yang sedang menyeberang jalan di Arizona, Amerika Syarikat (AS) kata polis pada Isnin.
Kejadian tersebut merupakan kes kematian pertama melibatkan kenderaan pandu sendiri sekali gus memberi tamparan hebat kepada teknologi yang dijangka membawa transformasi kepada dunia pengangkutan, lapor Reuters.
Syarikat perkhidmatan perjalanan itu kini menggantung semua ujian kenderaan pandu sendiri yang mereka lancarkan di Amerika Utara.
Kereta dengan ‘kendalian robot’ itu, apabila berjaya dibangunkan syarikat seperti Uber, Alphabet Inc dan General Motors Co, dijangka mengurangkan kes kemalangan jalan raya secara drastik, selain mencipta bisnes berbilion dolar.
Namun, insiden kemalangan pada Isnin menunjukkan masih ada halangan tertentu dalam menyediakan teknologi tersebut, khususnya apabila melibatkan situasi sebenar manusia.
Kemalangan itu juga mencetus reaksi pantas para penggubal undang-undang yang sebelum ini terus berdebat sama ada mahu meluluskan undang-undang yang mempercepatkan penggunaan kenderaan tanpa pemandu itu di AS.
“Kemalangan tragik ini adalah amaran untuk kita supaya perlu berhati-hati apabila menjalankan ujian dan melancarkan teknologi kenderaan pandu sendiri di jalan raya,” ujar Senator Demokrat Edward Markey dari Massachusetts.
Dalam insiden yang melibatkan kereta Uber tersebut, Elaine Herzberg, 49, telah dilanggar ketika cuba melintas jalan di pinggir bandar Pheonix. Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
#kenderaan tanpa pemandu
#kereta tanpa pemandu
#langgar
#mati
#syarikat kenderaan
#Uber
#wanita arizona