Wanita Arab Saudi reka fesyen abaya untuk gaya hidup aktif

Agensi
Julai 1, 2018 08:08 MYT
Pereka fesyen, Eman Joharjy, mahu mengajak wanita dan masyarakat sama-sama berubah menjadi lebih terbuka dan aktif. - REUTERS
Apabila larangan Arab Saudi terhadap pemandu wanita berakhir, pereka fesyen Eman Joharjy dan rakan-rakannya memandu ke kawasan pesisiran pantai di Jeddah untuk menjalankan aktiviti berbasikal.
Mengenakan pakaian abaya dengan potongan jumpsuit bersulam dan berwarna-warni, gaya mereka dilihat menyerlah dalam kalangan para wanita lain yang memakai abaya berona hitam.
Namun, tiada siapa yang menahan mereka.
Wanita dalam kerajaan konservatif ini kini semakin mendapat kebebasan di bawah agenda reformasi yang diperkenalkan Tengku Mahkotanya, Mohammed Salman.
Putera Mohammed bukan saja mahu membawa perubahan kepada ekonomi negara pengeksport minyak itu, malah menggalakkan keterbukaan dalam masyarakatnya.
Kerajaan Arab Saudi sudahpun membenarkan wanita menyertai pasukan keselamatan, selain tidak lagi memerlukan mereka mendapatkan izin mahram lelaki untuk menjalankan perniagaan.
Buat masa ini, walaupun mereka sudah dibenarkan memandu kenderaan, mereka masih memerlukan izin untuk berkahwin dan melancong ke luar negara.
Putera Mohammed menyasarkan tempoh dua tahun untuk pelbagai perubahan sosial, termasuk membenarkan semula operasi panggung wayang dan konsert umum.
Kuasa polis agama juga sudah dikurangkan, yang dahulunya berhak menahan mana-mana wanita di jalanan untuk mengarahkan mereka mengenakan pakaian yang lebih menjaga aurat.
Hari ini, menjelang waktu matahari terbenam, ketika kehangatan suhu tanah Arab menurun, para wanita dilihat menjalankan aktiviti riadah di sepanjang kawasan pesisiran pantai.
“Wanita kini lebih bersemangat dengan sokongan kerajaan. Kini kami boleh bersukan. Marilah berubah menjadi masyarakat yang aktif,” ujar Joharjy.
Pada 2007, Johatjy mereka abaya untuk dirinya sendiri selepas kecewa apabila tiada pilihan abaya yang sesuai untuk aktiviti berlari atau berbasikal.
Dia juga menghasilkannya untuk rakan-rakan dan kemudian mula menjual 'abaya sukan' tersebut.
Di butiknya, rak-rak penuh digantung dengan pelbagai rekaan abaya berwarna-warni, yang sesuai untuk pelbagai aktiviti termasuk memandu.
Abaya untuk memandu kereta itu mempunyai hoodie (penutup kepala), lengan yang lebih ketat untuk mengelak ia tersangkut pada stereng, dan tidak terlalu labuh pada bahagian kaki bagi memudahkan kendalian pedal.
Lebih penting, bagi Joharjy, tiada warna hitam.
"Ini mencerminkan kebebasan dan keinginan untuk menikmati hidup dan memudahkan wanita moden. Lagipun, wanita menyukai warna," ujarnya.
Beliau optimis bahawa peraturan sosial Arab Saudi yang ketat akan berubah, sekali gus percaya ramai wanita dapat menggayakan variasi jenis abaya.
#abaya #aurat #kebebasan #Konservatif #larangan #pereka fesyen #perubahan sosial #wanita arab saudi
;