Wang Yi adakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari Britain

Bernama
Ogos 31, 2023 09:12 MYT
Wang Yi berkata, China sentiasa mementingkan kedudukan Britain sebagai sebuah negara besar dan peranannya yang istimewa. - Gambar fail
BEIJING: China dan Britain wajar menjalankan serta meningkatkan pertukaran lawatan yang normal dalam pelbagai bidang dan kedua-dua negara diyakini mampu mendepani gangguan, mempamerkan kedinamikan serta berkembang ke arah lebih cerah, kata Menteri Luar China, Wang Yi.
Wang yang juga Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) berkata demikian dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Britain, James Cleverly, di sini, pada Rabu.
Kata beliau, China sentiasa mementingkan kedudukan Britain sebagai sebuah negara besar dan peranannya yang istimewa, serta kekal komited untuk mengembangkan hubungan bilateral yang stabil dan saling menguntungkan.
Wang turut berpandangan bahawa kerjasama China-Britain kekal berpengaruh di peringkat global, manakala dialog dan kerjasama merupakan kunci, serta pilihan utama dasar China terhadap Britain.
"Tatkala berhadapan situasi antarabangsa yang tidak menentu, China dan Britain selaku anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) perlu bertanggungjawab sebagai negara besar untuk bekerjasama mengatasi cabaran sejagat, serta memelihara kedamaian dan kestabilan dunia.
"Sebagai rakan strategik komprehensif, kita (China-Britain) sepatutnya menghargai sumbangan pemimpin kedua-dua negara dan pelbagai lapisan masyarakat, serta mendorong hubungan dua hala berkembang ke depan," kata beliau.
Tambah Wang, kedua-dua negara dengan ekonomi yang besar itu juga sepatutnya mempertingkatkan penyelarasan dasar makro bagi menyuntik momentum kepada pemulihan ekonomi dunia.
"Selain itu, kedua-dua pihak diharap dapat meningkatkan pertukaran lawatan dan saling mempelajari, menjalankan dialog tamadun untuk berperanan konstruktif bagi mengurangkan perselisihan dan konflik antara manusia," kata Menteri Luar itu.
Dalam pertemuan itu, Wang turut menyatakan pendirian China berkait isu Taiwan dan berharap Britain menghormati kepentingan teras China serta dasar Satu China.
Cleverly dalam ucapannya, menghargai pencapaian China dalam usaha membasmi kemiskinan, mewujudkan kemakmuran negara dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara lain dan dunia.
Beliau menganggap bahawa hubungan dua hala yang kondusif bukan sahaja telah memberi galakan kepada rakyat kedua-dua negara, bahkan juga dunia.
"Pendirian kerajaan Britain dalam masalah Taiwan juga tidak berubah iaitu mengakui dasar Satu China.
"Britain komited untuk meningkatkan komunikasi dengan China, bertindak dengan aktif untuk menyelesaikan masalah dan menambah persefahaman.
"Perusahaan dari Britain juga berharap menjalankan lebih banyak kerjasama dengan China," kata Cleverly.
Beliau turut berpandangan bahawa kerajaan kedua-dua negara harus berusaha bersama untuk mengeratkan hubungan ekonomi dan perdagangan, meningkatkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi, kecerdasan buatan (AI), serta sumber tenaga hijau.
Difahamkan, kedua-dua pihak saling bertukar-tukar pendapat mengenai urusan serantau dan antarabangsa termasuk krisis Ukraine dan isu nuklear Semenanjung Korea.
-- BERNAMA
#wang yi #China #Britain #lawatan rasmi