Wang Yi adakan lawatan ke Malaysia, dua lagi negara Asia Tenggara mulai hari ini

Bernama
Ogos 10, 2023 17:43 MYT
Wang Yi akan mengadakan lawatan ke Singapura, Malaysia dan Kemboja selama empat hari mulai hari ini (Khamis). -Gambar fail/Reuters
BEIJING: Jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning pada Rabu memaklumkan bahawa Wang Yi akan mengadakan lawatan ke Singapura, Malaysia dan Kemboja selama empat hari mulai hari ini (Khamis).
Mengulas mengenai lawatan Menteri Luar China merangkap Anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) itu, jurucakap kementerian berkenaan memberitahu hubungan China dengan Singapura, Malaysia dan Kemboja kini meneruskan trend perkembangan yang baik.
"China dan Singapura telah menjalin hubungan rakan orientasi masa depan yang berkualiti tinggi dan melibatkan segenap aspek.
"Sementara, China dan Malaysia pula sepakat untuk membina komuniti berkongsi nasib, manakala China dan Kemboja pula aktif membina komuniti berkongsi nasib China-Kemboja pada era baharu yang berkualiti, bertaraf dan berstandard tinggi," kata jurucakap itu.
Tahun ini turut merupakan ulang tahun ke-10 konsep membina komuniti berkongsi nasib sesama insan dan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) saranan Presiden China Xi Jinping.
Memetik kenyataan jurucakap Kementerian Luar China berhubung ulang tahun itu, negara Asia Tenggara disifatkan sebagai sentiasa aktif mempraktikkan konsep berkenaan, serta dilihat sebagai rakan kerjasama penting bagi China untuk membina BRI secara bersama.
"China mahu mengambil kesempatan lawatan kali ini mempertingkat komunikasi strategik dengan tiga negara itu, melaksanakan dengan baik untuk wajah baharu hubungan China-Singapura, menjalankan pergerakan yang teguh dalam membina komuniti berkongsi nasib China dan Malaysia, serta China dan Kemboja.
"Sekali gus dapat memperkasakan kerjasama dalam membina bersama BRI yang berkualiti tinggi dan menggerakkan hubungan bilateral meningkat ke tahap baharu," katanya.
China turut bersedia bersinergi ketiga-tiga negara berkenaan untuk mendorong pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Peradaban Global; menggalakkan pemulihan ekonomi; memelihara kedamaian dan keamanan; serta mengintensifkan pertukaran dan saling belajar bagi menyumbang kepada kedamaian, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran sedunia.
-- BERNAMA
#China #wang yi #lawatan ke Singapura Malaysia dan Kemboja #Menteri Luar China
;