Wang kertas New Zealand diiktiraf tercantik di dunia

Nizam Bakeri
April 26, 2016 22:21 MYT
Wang kertas NZ$5 mengabadikan wajah Sir Edmund Hillary, salah seorang pendaki Gunung Everest terawal - Foto Reserve Bank of New Zealand. - Gambar fail
PERSATUAN Wang Kertas Antarabangsa (IBNS) telah memilih wang kertas NZ$5 sebagai pemenang anugerah Bank Note of the Year 2015.
Keputusan yang diumumkan pada Selasa sekaligus menyaksikan wang kertas tersebut menewaskan 19 pencalonan lain, lapor Mashable.
Antara pencalonan ialah wang kertas 20 Kronor Sweden, wang kertas 100 Ruble Rusia, dan wang kertas 5 Pound Scotland.
IBNS merupakan persatuan yang ditubuhkan khusus untuk kajian dan pengumpulan wang kertas.
Pemenang anugerah Bank Note of the Year dipilih berdasarkan nilai artistik, mempunyai ciri keselamatan inovatif, dan masih lagi digunakan.
Timbalan Gabenor Reserve Bank of New Zealand, Geoff Bascand dalam satu kenyataan menjelaskan kemenangan tersebut merupakan bukti usaha gigih dan inovasi bank tersebut dalam menghasilkan wang kertas itu.
“Kami bangga dengan semua wang kertas New Zealand, tetapi apabila wang NZ$5 ini diiktiraf di peringkat antarabangsa, ini sesuatu yang istimewa. Wang kertas ini mempunyai beberapa ciri keselamatan termaju di dunia namun masih lagi indah dan memaparkan sejarah, budaya, dan warisan New Zealand,” tambah Bascand.
Wang kertas NZ$5 mengabadikan wajah Sir Edmund Hillary, salah seorang pendaki Gunung Everest terawal dan juga penguin bermata kuning atau hoiho yang wujud di Kepulauan Campbell, pulau subantartik New Zealand.
#Bank Note of the Year 2015 #Kini Trending #New Zealand #wang kertas New Zealand
;