Waktu operasi VEP berakhir lebih awal semasa cuti sekolah pada Jun

Bernama
Mei 26, 2015 08:56 MYT
Sempena cuti persekolahan pada Jun, waktu operasi Permit Masuk Kenderaan (VEP) akan berakhir lebih awal pada 12 tengah hari dari Isnin hingga Jumaat, mulai 30 Mei hingga 28 Jun ini, kata Lembaga Pengangkutan Darat Singapura.
Sempena cuti persekolahan pada Jun, waktu operasi Permit Masuk Kenderaan (VEP) akan berakhir lebih awal pada 12 tengah hari dari Isnin hingga Jumaat, mulai 30 Mei hingga 28 Jun ini, kata Lembaga Pengangkutan Darat Singapura.
Dalam satu kenyataan, LTA berkata, pemandu kereta dan penunggang motosikal negara asing tidak perlu membayar sebarang caj VEP untuk hari berkenaan jika memasuki Singapura selepas 12 tengah hari dan meninggalkan republik itu menjelang 2 pagi hari berikut dari Isnin hingga Jumaat dalam tempoh ini.
Ia berkata bayaran VEP juga tidak dikenakan pada Sabtu, Ahad dan cuti umum Singapura.
"Ini sebahagian daripada inisiatif yang dilaksanakan sekarang untuk menarik pelancong asing ke Singapura terutama semasa cuti persekolahan di republik ini," katanya.
Untuk hari-hari biasa bukan semasa cuti persekolahan pada Jun dan Disember di Singapura, bayaran VEP dikenakan dari 2 pagi hingga 5 petang setiap hari, kecuali pada Sabtu, Ahad dan cuti umum Singapura.
Dalam tempoh ini, bayaran VEP tidak dikenakan jika kenderaan memasuki Singapura selepas jam 5 petang pada hari bekerja dan meninggalkan republik ini sebelum 2 pagi pada hari berikut.
Di samping itu, di bawah skim percuma VEP selama sepuluh hari, pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang didaftarkan di negara asing boleh memandu memasuki Singapura untuk maksimum 10 hari bekerja setahun tanpa perlu membayar VEP.
#bayaran #Lembaga Pengangkutan Darat #LTA #Singapura #Tambak Johor #VEP
;