Waktu bekerja fleksibel dapat beri manfaat kepada produktiviti dan kehidupan - ILO

Bernama
Januari 7, 2023 11:17 MYT
Laporan ILO menyebut, pengurangan waktu bekerja dan pengaturan masa kerja yang lebih fleksibel seperti semasa krisis COVID-19 dapat memberi manfaat kepada ekonomi, perniagaan dan pekerja. - Gambar hiasan
GENEVA: Pengurangan waktu bekerja dan pengaturan masa kerja yang lebih fleksibel seperti semasa krisis COVID-19 dapat memberi manfaat kepada ekonomi, perniagaan dan pekerja, seperti peningkatan produktiviti dan keseimbangan kehidupan yang lebih baik, menurut laporan terkini Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada Jumaat.
Laporan bertajuk Working Time and Work-Life Balance Around the World yang pertama seumpamanya itu, menyediakan semakan menyeluruh mengenai kedua-dua aspek utama masa bekerja -- waktu bekerja dan pengaturan masa bekerja - dan kesannya terhadap keseimbangan kerja serta kehidupan pekerja, lapor Xinhua.
Sebahagian besar tenaga kerja global kini bekerja sama ada untuk tempoh masa lebih panjang atau pendek jika dibandingkan dengan minggu bekerja lapan jam biasa atau 40 jam seminggu.
Lebih satu pertiga daripada semua pekerja kerap bekerja lebih 48 jam seminggu manakala satu perlima tenaga kerja global bekerja pada masa yang singkat iaitu kurang 35 jam seminggu.
Langkah-langkah krisis COVID-19 menghasilkan bukti baharu yang kukuh bahawa memberikan pekerja lebih fleksibiliti membantu menghasilkan elemen lebih positif untuk petugas dan perniagaan, contohnya peningkatan produktiviti, menurut laporan itu.
Skim kerja jangka pendek yang inklusif dengan elaun tinggi mungkin bukan sahaja dapat mengekalkan pekerjaan tetapi juga kuasa beli dan mewujudkan kemungkinan mengurangkan kesan krisis ekonomi.
Laporan itu mendapati bahawa tindak balas dasar awam diperlukan untuk menggalakkan pengurangan jam bekerja di banyak negara bagi menggalakkan keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih sihat serta produktiviti lebih baik.
"Terdapat banyak bukti bahawa dasar keseimbangan kerja dan kehidupan memberikan manfaat yang besar kepada perusahaan, menyokong hujah bahawa dasar itu mewujudkan 'situasi sama menang' untuk majikan dan pekerja," menurut laporan itu. - BERNAMA
#waktu kerja #fleksibel #work-life balance #krisis COVID-19
;