Wakil Tinggi EU gesa AS henti hantar senjata kepada Israel

Agensi
Februari 13, 2024 08:00 MYT
Josep Borrell memberi amaran kepada Israel mengenai tindakan tidak seimbang yang diambil rejim Zionis itu di Semenanjung Gaza. - Gambar fail REUTERS
BRUSSELS: Wakil Tinggi Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell memberi amaran kepada Israel mengenai tindakan tidak seimbang yang diambil rejim Zionis itu di Semenanjung Gaza.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa sekutu Israel,terutamanya Amerika Syarikat (AS), untuk berhenti daripada terus membekalkan senjata kerana sudah "terlalu ramai orang" terbunuh di Gaza.
Borrel turut merujuk kepada kenyataan Presiden AS, Joe Biden minggu lalu yang menyebut, tindakan ketenteraan Israel adalah 'melampaui batas' dan 'berlebihan.'
Kepada Biden, Borrel memberi peringatan, jika Presiden AS itu yakin terlalu ramai orang terbunuh maka, tindakan paling terbaik perlu dilakukan Amerika ialah dengan mengurangkan pemberian senjata kepada Israel untuk mengelakkan orang awam terbunuh.
“Berapa kali anda mendengar pemimpin dan Menteri Luar yang paling terkemuka di seluruh dunia mengatakan terlalu ramai orang terbunuh?
"Jika masyarakat antarabangsa percaya bahawa ini adalah penyembelihan, terlalu ramai orang terbunuh, mungkin kita perlu memikirkan tentang pembekalan senjata," tegas Borrel lagi.
Ketua Diplomat EU itu turut menyelar arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa lebih sejuta rakyat Palestin yang berlindung di bandar Rafah di Gaza perlu "dipindahkan" menjelang operasi ketenteraan Israel yang dirancang di sana.
“Mereka akan berpindah ke mana? Ke bulan? Di mana mereka hendak memindahkan orang-orang ini?” soal Borrell.
Ini bukan kali pertama Borrell menyatakan kebimbangan terhadap pencerobohan bandar Rafah di selatan Gaza.
Pada Ahad, beliau berkata, serangan di Rafah "akan membawa kepada malapetaka kemanusiaan yang tidak terkata" dan ketegangan yang teruk dengan negara jiran Mesir.
Borrel dalam pada itu turut menggesa semua pihak memberikan tekanan kepada Israel dan meneruskan bantuan untuk menyokong krisis kemanusiaan.
"Jika mereka (Israel) melancarkan serangan terhadap kawasan berpenduduk tinggi dengan lebih 1.7 juta orang, mereka (rakyat Palestin) tidak akan dapat melarikan diri.
"Bila adanya perang, manusia melarikan diri, tetapi orang awam di Gaza tidak dapat melarikan diri kerana mereka dikepung.
"Inilah situasinya, jadi saya harap seluruh dunia mengambil kira ini," ujarnya.
Justeru, Borrel menggesa agar rundingan penyelesaian dua negara dilakukan segera. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #henti hantar senjata #Kesatuan Eropah #Presiden Joe Biden
;