Wakil PBB bimbang tentang keadaan di Myanmar
Astro Awani
Februari 17, 2021 06:31 MYT
Februari 17, 2021 06:31 MYT
YANGON: Puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan di kota terbesar Myanmar.
Demonstrasi ini tetap berlaku walaupun pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa mereka berdepan tindakan keras dari junta.
Selain itu, Wakil Khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar, Tom Andrews memaklumkan, peningkatan kehadiran tentera di bandar-bandar utama Myanmar membimbangkan.
“Anggota tentera dan polis telah dikerah dan mereka sudah mula menggunakan kekerasan seperti penggunaan peluru getah, dalam beberapa kes, peluru betul digunakan dalam melepaskan tembakan.
“Kita telah melihat penggunaan meriam air dan sekarang saya boleh mengesahkan daripada beberapa sumber bahawa junta tentera telah mengerah anggotanya ke kawasan sempadan, termasuk di Rakhine dan beberapa bandar lain.
“Ini adalah pasukan tentera yang besar. Oleh itu, kemungkinan mimpi buruk akan berlaku, kehilangan nyawa, seperti yang kita lihat pada masa lalu. Maksud saya, rakyat Myanmar memahami kemampuan tentera dan Jeneral ini, mereka telah melihatnya. Oleh itu, kehadiran tentera ini dan dari mana pasukan ini berasal membuat saya sangat bimbang," katanya.
Di Yangon, para penunjuk perasaan berarak membawa papan tanda meminta pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi dibebaskan dari tahanan.
Andrews meminta masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada pemimpin tentera Myanmar.
Junta tentera Myanmar mula merampas kuasa pada 1 Februari.