Wakil kerajaan Taliban tiba di Norway
Astro Awani
Januari 22, 2022 07:45 MYT
Januari 22, 2022 07:45 MYT
OSLO: Wakil kerajaan Taliban tiba di Norway bagi membincangkan mengenai hak asasi manusia dan bantuan kemanusiaan.
Ia merupakan lawatan pertama wakil Taliban ke rantau itu, sejak kembali berkuasa.
Pemangku Menteri Luar Kerajaan Taliban, Amir Khan Muttaqi, akan memimpin delegasi ke Norway.
Wakil khas dari Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom, Perancis, Itali dan Kesatuan Eropah (EU) turut dijangka hadir dalam perbincangan tersebut.
Menteri Luar Norway, Anniken Huitfeldt, bagaimanapun menekankan lawatan itu bukan pengiktirafan kepada Taliban, sebaliknya sebagai medium perbincangan selepas mengambil kira situasi serius di Afghanistan.
Katanya keadaan ekonomi dan politik mewujudkan malapetaka kemanusiaan besar, membabitkan jutaan orang yang berdepan kebuluran di negara itu.
Lawatan itu merupakan kali pertama sejak Taliban mengambil alih Afghanistan pada Ogos, apabila wakil mereka akan menghadiri mesyuarat di Eropah.
Sebelum ini, mereka pernah mengadakan lawatan ke Rusia, Iran, Qatar, Pakistan, China dan Turkmenistan.