Wahai warga dunia, ketahuilah saya dan suami 'hantu lanun' sudah berpisah
Sinar Harian
Disember 20, 2018 12:26 MYT
Disember 20, 2018 12:26 MYT
Seorang wanita yang mengaku berkahwin dengan hantu lanun berusia 300 tahun pada Januari lalu, telah mengumumkan perpisahan mereka di Twitter.
Amanda Teague, 46 tahun, bagaimanapun belum bersedia berkongsi punca mengapa dia dan 'suaminya' bernama Jack membawa haluan masing-masing.
"Saya mahu semua orang tahu bahawa perkahwinan saya sudah berakhir.
"Saya akan jelaskan segalanya pada masa yang difikirkan sesuai.
"Apa pun, saya mahu berpesan jangan sesekali ikut jejak langkah saya.
"Berpacaran dengan roh bukan perkara main-main," katanya.
Awal tahun ini, Amanda memutuskan mengahwini hantu lanun Haiti dari Abad ke-18 tersebut selepas dia berputus asa mencari lelaki sempurna untuk menjadi pasangannya.
Menurutnya, hubungan mereka bermula pada 2014 ketika dia sedang berbaring dan merasa 'tenaga' di sisinya.
Sejak itu, roh tersebut sering menemaninya menonton televisyen dan janda enam anak ini mendakwa mereka juga kerap bergaduh seperti pasangan normal lain.