Wabak mpox: Saringan suhu, visual di pusat pemeriksaan udara, laut Singapura bermula

Bernama
Ogos 22, 2024 05:30 MYT
Ilustrasi partikel virus mpox. WHO isytihar mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa pada 14 Ogos. - Foto REUTERS
SINGAPURA: Singapura akan melaksanakan saringan suhu dan visual di lapangan terbang Changi dan Seletar untuk pelawat dan kru penerbangan dari tempat yang mungkin terdedah kepada risiko wabak mpox bermula Jumaat (23 Ogos).
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) langkah saringan serupa juga akan dilaksanakan di pusat pemeriksaan laut untuk anak kapal dan penumpang yang tiba dengan kapal dari kawasan terjejas.
"MOH, Kementerian Pengangkutan serta Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan akan melaksanakan langkah berjaga-jaga untuk meningkatkan keupayaan pengawasan kami terhadap mpox di sempadan," menurut MOH dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada masa ini, tiada penerbangan terus antara Singapura dengan mana-mana negara wabak mpox.
MOH berkata nasihat kesihatan telah dilaksanakan di pusat pemeriksaan udara supaya pelancong mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada dijangkiti.
"Para pelancong sangat digalakkan untuk mematuhi maklumat itu, terutamanya jika mereka melancong ke dan dari negara yang terjejas. Pelancong yang mengalami demam, ruam dan atau gejala yang serasi dengan mpox akan dirujuk untuk penilaian perubatan," tambahnya.
Langkah berjaga-jaga untuk mengesan dan menguruskan kes mpox kekal tidak berubah.
Setakat Khamis (22 Ogos), terdapat 13 kes mpox yang disahkan di Singapura tahun ini, yang kesemuanya adalah jangkitan Clade II yang kurang teruk. Tiada kes mpox Clade I dikesan di republik itu setakat ini.
Penularan wabak hanya berlaku di Afrika, dengan dua kes mpox Clade I yang lebih teruk dilaporkan di Sweden dan Thailand. Pada masa ini tiada laporan mengenai penyebaran tempatan di kedua-dua negara ini.
"MOH akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memastikan langkah kesiapsiagaan dan tindak balas kami disesuaikan berdasarkan risiko kesihatan awam yang berlaku," tambahnya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa pada 14 Ogos.
-- BERNAMA
#Singapura #Lapangan Terbang Changi #mpox #saringan suhu dan visual
;