Wabak korona tersebar merata, virus penipuan Itali bertambah lara
Razak Chik
Februari 26, 2020 22:45 MYT
Februari 26, 2020 22:45 MYT
WABAK penipuan kian menjadi-jadi di Itali melibatkan pelbagai pihak yang muncul mengambil kesempatan dari kegusaran akibat penularan wabak selesema COVID-19.
Ada kumpulan perompak yang bergerak dengan menyamar sebagai kakitangan kesihatan atau anggota bulan sabit merah sambil mengambil peluang menyamun.
Sudah timbul beberapa kes perompak berpakaian seperti anggota perubatan mengetuk pintu dan menceroboh masuk rumah mangsa. Mereka berjaya menceroboh setelah mendakwa dihantar pihak berkuasa melakukan pemeriksaan dan pembasmian kuman.
Apabila berjaya masuk, mangsa diugut, diikat dan rumah digeledah sebelum penyamun lari dengan hasil rompakan.
Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan termasuk topeng dan bahan pembunuh kuman.
Kebanyakan kes penipuan dan penganiyaan berlaku di utara negara itu di Wilayah Lombardy di mana terletaknya Milan, kota yang menjadi nadi ekonomi Itali.
Itali kini menjadi tumpuan dunia kerana mencatatkan jumlah penularan COVID-19 yang meningkat dalam kadar mendadak. Terkini, pada Selasa minggu terakhir Februari, terdapat 322 kes penularan COVID-19 di Itali, catatan paling tinggi di Eropah.
Penularan wabak menyebabkan warga Itali Lombardy berpusu-pusu merebut, mencari dan membeli topeng mulut dan muka dan juga bahan pencuci sehingga kehabisan bekalan.
Ini memberi peluang kepada peniaga yang menaikkan harga hingga ke tahap yang melambung terlalu tinggi di pasaraya dan farmasi.
Terdapat peniaga yang mengambil kesempatan mengenakan harga mahal untuk meraih keuntungan besar.
Pada Selasa, timbul kes seorang penjual menawarkan satu liter bahan pembunuh kuman (disinfectant) pada harga 300 euro (RM1,377).
Dalam duka, ada pihak yang pandai mengubat lara. Laman sosial menjadi padang permainan pelbagai troll, meme dan jenaka.
“Sanggup tukar lima liter Amuchina dengan sebiji Audi RS 5” – itu satu catatan yang tular di laman sosial.
Bagi yang perlu pencerahan, Amuchina ialah sejenis gel kalis bakteria pembunuh kuman; dan kereta jenama Audi RS 5 sememangnya mahal harganya.
Jika itu kurang mencuit hati, cuba yang ini; Seorang tokan dadah, apabila menyapa seorang pelanggan sama ada mahu membeli kanabis atau kokain terima jawapan – gel Amuchina!
Harga sebotol 80ml Amuchina naik mendadak sehingga 650 peratus dari 3 euro ke tahap 22.50 euro.
Topeng mulut dan muka dahulunya berharga 10 cent tetapi sekarang dijual pada harga 1.8 euro (1 euro = 100 cents = RM4.60).
Kemudian timbul pula pengamal perubatan yang mendakwa mampu merawat COVID-19 mengguna ramuan pelik tetapi tetap menerima sambutan mereka yang mungkin lemah semangat dan mudah percaya kepada hasutan.
Kepada mereka, pihak berkuasa Itali hanya mampu menasihatkan agar jangan mudah terpedaya.