Wabak cacar monyet diisytihar sebagai kecemasan kesihatan global - WHO
Astro Awani
Julai 23, 2022 22:31 MYT
Julai 23, 2022 22:31 MYT
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak cacar monyet atau monkeypox sebagai kecemasan kesihatan global.
Memetik laporan BBC, klasifikasi yang menjadi amaran tahap tertinggi itu dibuat selepas berlakunya peningkatan kes tersebut di seluruh dunia.
Ia juga merupakan keputusan hasil mesyuarat kedua jawatankuasa kecemasan WHO mengenai virus itu yang diadakan bagi mengkaji keadaan yang dilihat semakin serius.
Ketika ini, lebih 16,000 kes cacar monyet telah dilaporkan dari 75 negara, menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Walaupun wabak itu dilihat lebih tertumpu di Eropah, kini lima kematian telah dilaporkan di negara-negara Afrika.
Beberapa negara mula mencatatkan penurunan kes, tetapi enam negara minggu ini melaporkan kes pertama mereka.