Visa tamat tempoh, lapan sekeluarga enggan pulang ke negara asal

Agensi
Disember 31, 2017 12:09 MYT
Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok. Gambar hiasan
Kerana takut dibunuh pemerintah Zimbabwe, lapan sekeluarga menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok sebagai rumah kedua selama hampir tiga bulan.
Keluarga itu yang termasuk empat kanak-kanak di bawah usia 11 tahun, tiba di Bangkok pada Mei lalu dan semenjak itu mereka tidak pulang ke Zimbabwe.
Merumitkan lagi keadaan, visa pelancong untuk mereka berada di Thailand telah tamat dan mereka dikenakan denda kerana tinggal lebih masa.
Namun, pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi perlu diberi pujian kerana masih memberikan kebenaran kepada keluarga terbabit.
Mereka pernah cuba mengambil penerbangan ke Sepanyol melalui laluan Ukraine, namun hasrat mereka terbantut berikutan urusan visa dan mereka terpaksa terbang semula ke Bangkok.
Walaupun Zimbabwe kini tidak lagi ditadbir Robert Mugabe, namun mereka mendakwa krisis dalaman masih berlangsung di negara itu dan mereka masih belum bersedia untuk pulang.
Pada sambutan Krismas lalu, seorang pekerja di lapangan terbang terbabit memuat naik gambar bersama beberapa anggota keluarga terbabit di media sosial dengan catatan:
"Selamat Hari Natal kepada Misha, Milan, Eden dan Tanaka, dengan harapan semoga kamu semua dapat pulang ke negara asal dengan selamat."
#Bangkok #Kanak-kanak #penerbangan #Thailand #Visa #Zimbabwe
;