Virus Zika: WHO isytihar kecemasan kesihatan global

Agensi
Februari 2, 2016 11:14 MYT
Gambar fail seorang ibu, Hilda Venancio, memandikan anaknya Matheus, yang dijangkiti mikrosefali, di Recife, Brazil pada 27 Jan 2016. - REUTERS/Ueslei Marcelino
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan kecemasan kesihatan global berikutan penularan virus Zika yang disyaki penyebab utama peningkatan dalam bayi dilahir dengan kecacatan di sekitar Amerika Selatan.
BACA: Virus Zika: Belum ada larangan warga Malaysia ke Amerika Selatan
Ancaman virus Zika kini dilaporkan lebih berbahaya terhadap kesihatan global dibandingkan dengan virus Ebola sebelum ini.
Ketua pengarah kesihatan WHO, Margaret Chan berkata mesyuarat pakar-pakar kesihatan telah bersetuju wujudnya hubungan antara jangkitan virus Zika ketika mengandung dan mikrosefali (kecacatan pertumbuhan otak), walaupun buat masa ini tidak lagi terbukti secara saintifik.
Sindrom mikrosefali menyebabkan bayi dilahirkan dengan kepala dan otak yang lebih kecil berbanding normal.
BACA: Fakta ringkas mengenai virus Zika
Minggu lalu, WHO telah memberi amaran bahawa virus bawaan nyamuk Aedes aegypti itu sedang tersebar dengan meluasnya di Amerika Selatan dan menganggarkan sehingga empat juta kes Zika di benua itu tahun ini sahaja.
WHO berada di bawah tekanan untuk bertindak dengan cepat dalam memerangi Zika, selepas mengakui ia lambat bertindak balas terhadap wabak Ebola tahun lalu yang melanda sebahagian Afrika Barat dan meragut lebih 11,000 nyawa.
Chan berkata, dunia tidak boleh menangguhkan penyelarasan langkah-langkah untuk mengelak penyebaran virus Zika di rantau-rantau yang terjejas.
BACA: Bagaimana perubahan iklim menyebabkan virus Zika tersebar?
Brazil merupakan negara pertama yang menyuarakan kerisauan dalam krisis Zika dan memberi amaran pada Oktober lalu tentang kewujudan mikrosefali di kawasan Timur Laut.
Brazil sejak itu telah menjadi negara yang paling teruk terjejas, dengan kira-kira 4,000 kes mikrosefali di mana 270 kes telah disahkan, satu peningkatan daripada 147 kes pada tahun 2014.
WHO pada Isnin menegaskan kepada perlu ada peningkatan usaha untuk mencari vaksin untuk Zika, yang sehingga kini tiada lagi penawar.
Virus Zika disebarkan oleh nyamuk Aedes aegypti yang juga membawa virus denggi.
Antara simptom-simptom jangkitan virus Zika termasuk demam, ruam, sakit sendi dan konjunktivitis.
#kecemasan global Zika #mikrosefali #nyamuk aedes #virus Zika
;