Virus korona tak kira bintang mahupun politikus, serang selebriti, rakyat marhaen apatah lagi
Razak Chik
Mac 17, 2020 23:59 MYT
Mac 17, 2020 23:59 MYT
PADA hujung minggu lalu, perhatian dunia tertumpu kepada keputusan saringan terhadap dua pemimpin bertaraf selebriti – Presiden Amerika Donald Trump dan Presiden Brazil Jair Bolsonaro.
Kedua-dua presiden terdedah kepada wabak COVID-19 kerana hadir bersama dalam satu majlis negara di Florida.
Pembantu kanan presiden Fabio Wajngarten turut hadir pada majlis yang sama dan sejurus kepulangannya ke Brazil, diuji positif COVID-19.
Media anti-Bolsonaro di Brazil menunggu dengan hanya satu harapan – agar menerima berita positif keputusan saringan terhadap Presiden mereka.
Bolsonaro terkenal dengan keangkuhannya dan sering menyifatkan ancaman virus korona sebagai satu mitos yang sengaja diperbesar-besarkan.
Mereka menyambut gembira tersebar berita Bolsonaro positif tetapi hilang ceria bila anak Bolsonaro sendiri mengumumkan terdapat kekeliruan dan bapanya sebenarnya negatif COVID-19.
Sementara itu di Amerika, Donald Trump yang seangkatan dengan Bolsonaro dalam pelbagai ragam dan pendirian pada mulanya enggan menjalani saringan.
Akhirnya akur, Trump lega – dan lawannya mengeluh panjang – apabila keputusan ujiannya turut negatif COVID-19.
Pandemik COVID-19 sudah melanda 146 negara dengan jumlah korban menghampiri angka 6,500 pada Isnin.
Antara 164 ribu kes yang direkod seluruh dunia termasuk orang kenamaan, selebriti filem dan bintang sukan.
Pelakon Hollywood Tom Hanks dan isterinya – penyanyi dan pelakon Rita Wilson, pelakon Britain Idris Elba dan Sophie Trudeau, isteri Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau antara yang positif COVID-19.
Ahli politik dan pentadbiran kerajaan pelbagai negara yang teruk dilanda COVID-19 turut terkesan dan ramai jatuh sakit kerana terdedah kepada jangkitan menjalankan tugasan rasmi kerajaan.
Di United Kingdom, Menteri kesihatan Nadine Dorries merupakan ahli politik pertama positif COVID-19.
Menteri Dalam Negeri Australia Peter Dutton pula sedang menjalani kuarantin kerana positif sakit akibat jangkitan virus korona.
Di Iran, keadaannya agak tegang kerana ramai kalangan anggota kanan kerajaan positif COVID-19.
Timbalan Presidennya Massouumeh Ebtekar merupakan anggota paling kanan terkesan dari jangkitan virus korona.
Timbalan Menteri Kesihatan Iraj Harirchi paling malang kerana sebelum jatuh sakit, celupar meremeh-remehkan bahaya wabak COVID-19.
Harirchi menjadi bahan cemuhan apabila tampil dalam satu sidang akhbar memberi laporan status wabak COVID-19 dalam keadaan tidak sihat.
Kesudahannya, Harirchi sendiri menjadi statistik wabak Covid-19 Iran yang mencatatkan hampir 15 ribu kes positif dan lebih 850 kematian pada Isnin.
Bintang sukan juga tidak terlepas dari jatuh sakit akibat penularan virus korona.
Pengurus Arsenal Mikel Arteta, 37; merupakan mangsa pertama positif COVID-19 dari Liga perdana England.
Beberapa jam kemudian, pemain sayap Chelsea Callum Hudon-Odoi, 19; mengakui dijangkiti COVID.
Di Itali pula, Paulo Dybala yang berasal dari Argentina mengumum dirinya positif COVID.
Di Amerika, bintang National Basketball Association (NBA) Rudy Gobert teruk dikutuk kerana mempamir sikap tidak acuh (socially-irresponsibe behaviour) setelah disah positif COVID-19. Gobert yang bermain untuk Utah Jazz tanpa sikap bertanggung jawab jelas memegang mikrofon dan alat rakaman wartawan pada Mar 9 lalu.
Seorang lagi pemain Utah Jazz Donovan Mitchell positif COVID-19 tiga hari kemudian.
Sementara itu, dua pelumba basikal yang mengambil bahagian Jelajah UAE didapati positif COVID-19 pada hari yang sama.
#COVID-19
#Donald Trump
#idris elba
#Jair Bolsonaro
#koronavirus
#pemimpin dunia
#selebriti
#Tom Hanks