Virgin Galactic akan lancar penerbangan pelancongan pertama ke angkasa

Bernama
Ogos 9, 2023 16:40 MYT
Pesawat angkasa yang dioperasikan Virgin Galactic ini sedia untuk membawa penumpang komersial pertamanya. - Reuters
LONDON: Seorang bekas Olympian berusia 80 tahun yang menghidap penyakit Parkinson, akan menjadi antara tiga penumpang dalam penerbangan pertama pelancongan angkasa lepas Virgin Galactic yang berlepas pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Jon Goodwin dari Newcastle, akan menyertai Keisha Schahaff, 46, dan anak perempuannya, Anastatia Mayers, 18, seorang pelajar fizik di Aberdeen, dalam penerbangan VSS Unity untuk perjalanan selama 90 minit itu.
Kedua-dua wanita itu akan menjadi ibu dan anak perempuan pertama yang melakukan perjalanan ke angkasa lepas hasil kemenangan mereka dalam cabutan hadiah, manakala Goodwin menempah tempatnya 18 tahun lalu selepas membeli tiket AS$250,000.
Perjalanan itu akan disertai oleh tenaga pengajar angkasawan, Beth Moses.
Setelah berlepas pada 4 petang (1500 GMT) dari New Mexico, Amerika Syarikat, kapal induk VMS Eve, VSS Unity, akan berpisah dan membawa mereka ke ruang suborbital untuk mengalami secara ringkas keadaan tanpa berat (kenirberatan), sambil memandang ke arah Bumi.
Perjalanan itu akan mengumpul dana untuk Space for Humanity, sebuah kumpulan bukan untung yang bertujuan menghantar rakyat biasa ke angkasa bagi memberi mereka "perspektif yang lebih hebat" tentang cabaran yang dihadapi Bumi.
Pada Jun, Virgin Galactic milik Sir Richard Branson berjaya melakukan penerbangan angkasa lepas komersial pertama syarikat itu yang membawa angkasawan Itali ke angkasa lepas untuk menjalankan beberapa eksperimen saintifik.
Misi angkasawan persendirian pertama pada Khamis itu dikenali sebagai Galactic 02.
-- BERNAMA
#Virgin Galactic #penerbangan pelancongan #Angkasa Lepas #penumpang
;