Vietnam sasar pasaran halal
Bernama
Jun 17, 2024 14:00 MYT
Jun 17, 2024 14:00 MYT
HANOI: Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam komited untuk membangunkan rangka kerja perundangan yang menyokong kerjasama antarabangsa dalam membangunkan industri halalnya.
Ringkasan AI
- Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam berusaha membangunkan rangka kerja perundangan untuk menyokong kerjasama antarabangsa dalam industri Halal, termasuk rundingan perdagangan dengan Indonesia, Malaysia, dan UAE.
- Kementerian menggesa entiti berkaitan meningkatkan pengedaran produk Vietnam yang disahkan Halal dan mendorong syarikat-syarikat Vietnam mendapatkan pensijilan Halal serta membangunkan produk mengikut piawaian Halal untuk menguasai pasaran Halal yang menguntungkan.
- Dengan penduduk Islam dijangka mencapai 2.2 bilion menjelang 2030, terdapat peluang besar bagi Vietnam dalam pasaran Halal global yang dianggarkan mencecah US$10 trilion menjelang 2027.
Ini termasuk rundingan dan menandatangani perjanjian perdagangan serta memudahkan perkongsian dengan organisasi dan pengedar di Indonesia, Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor Agensi Berita Vietnam.
Kementerian itu juga menggesa entiti berkaitan untuk meningkatkan pengedaran produk Vietnam yang disahkan Halal bagi memenuhi keperluan pengeksport, sambil menggalakkan peningkatan pengeluaran dan keupayaan eksport.
"Syarikat-syarikat Vietnam dinasihatkan supaya proaktif mendapatkan pensijilan Halal untuk pasaran yang sesuai, membangunkan produk yang mematuhi piawaian Halal tertentu dan melabur dalam mempromosi jenama yang kukuh untuk menguasai bahagian pasaran (Halal) yang menguntungkan ini," menurut kementerian itu.
Laporan Pusat Penyelidikan Pew meramalkan penduduk Islam mencecah 2.2 bilion menjelang 2030, membawa kepada peningkatan ketara dalam permintaan bagi produk Halal.
Pakar melihat peluang keemasan bagi Vietnam meneroka pasaran Halal yang semakin berkembang pesat, didorong oleh peningkatan populasi Islam global, menurut laporan itu.
Nguyen Tuan dari Pusat Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan Bandaraya Ho Chi Minh berkata ekonomi Halal global dijangka mencecah kira-kira US$10 trilion menjelang 2027.
-- BERNAMA