Vietnam sasar capai 100 peratus liputan jalur lebar di lebuh raya, landasan kereta api menjelang 2025

Bernama
Julai 17, 2024 08:57 MYT
Vietnam mengejar sasaran untuk menyediakan liputan 100 peratus jalur lebar mudah alih di semua lebuh raya kebangsaan dan landasan kereta api. - Wikipedia
HANOI: Vietnam menyasarkan untuk mencapai liputan 100 peratus rangkaian jalur lebar mudah alih di semua lebuh raya kebangsaan, lebuh raya ekspres, dan landasan kereta api menjelang 2025.
Sasaran ini adalah berikutan rancangan Kementerian Penerangan dan Komunikasi untuk meningkatkan kualiti rangkaian telekomunikasi mudah alih, lapor Xinhua, memetik Vietnam News pada Rabu.
Menjelang 2025, semua wilayah dan bandar di Vietnam dijangka menikmati liputan 5G bersama dengan zon teknologi tinggi, pusat penyelidikan dan inovasi, taman perindustrian, lapangan terbang, dan pelabuhan, menurut rancangan itu.
Purata kelajuan muat turun untuk perkhidmatan Internet 5G dijangka mencapai minimum 100 Mbps.
Turut dicadangkan ialah menamatkan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih yang hanya menggunakan 2G, kecuali di kawasan tertentu di luar bandar seperti pelantar minyak luar pesisir.
--BERNAMA-XINHUA
#Vietnam #liputan jalur lebar #lebuh raya #landasan kereta api #5G