Vietnam rombak kabinet lagi

Astro Awani
Ogos 28, 2024 10:00 MYT
Vietnam menyaksikan perubahan berulang kali pucuk kepimpinan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. - Foto REUTERS
HANOI: Parlimen Vietnam pada Selasa meluluskan satu lagi rombakan besar-besaran dalam kerajaan pimpinan Parti Komunis, sebagai persediaan untuk memilih presiden ketiga baharu, dalam tempoh kurang dari dua tahun, Oktober ini.
Vietnam menyaksikan perubahan berulang kali pucuk kepimpinan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, yang terbaharu dengan pelantikan Presiden To Lam sebagai ketua parti pada awal bulan ini.
Setiausaha Agung Dewan Perhimpunan Vietnam, Bui Van Cuong berkata, Parlimen akan memilih presiden baharu pada Oktober, menamatkan spekulasi bila dan sama ada Lam akan melepaskan jawatan berkenaan.
Kenyataan Cuong dibuat pada akhir Mesyuarat Luar Biasa Ahli-Ahli Parlimen di Hanoi.
Pada mesyuarat tersebut, parlimen melantik tiga Timbalan Perdana Menteri baharu iaitu Menteri Luar, Bui Thanh Son; Menteri Kewangan, Ho Duc Phoc; dan Ketua Hakim, Nguyen Hoa Binh.
Son juga kekal mengetuai Kementerian Luar, manakala Phoc dan Binh akan mengetuai portfolio masing-masing buat sementara.
Turut dilantik memegang portfolio baharu ialah Nguyen Hai Ninh sebagai Menteri Kehakiman dan Do Duc Duy sebagai Menteri Aam Sekitar.
Dua Timbalan Perdana Menteri yang tamat tempoh perkhidmatan adalah Le Minh Khai, yang telah dikenakan tindakan disiplin oleh badan elit Politburo pada bulan ini kerana melanggar peraturan parti dan Tran Luu Quang, yang dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa Ekonomi Pusat Parti Komunis minggu lalu.
Pelantikan baharu ini menyaksikan lima Timbalan Perdana Menteri kini berkhidmat di bawah Perdana Menteri, Pham Minh Chinh.
#rombak kabinet #presiden baharu #To Lam #Parti Komunis
;