Vietnam muncul negara paling menyerlah untuk perniagaan
Bernama
Oktober 16, 2024 04:45 MYT
Oktober 16, 2024 04:45 MYT
HANOI: Vietnam telah diiktiraf sebagai negara yang paling menyerlah untuk perniagaan sejak dua dekad yang lepas, menurut Kedudukan Persekitaran Perniagaan Unit Risikan Ekonomi (EIU), lapor Xinhua memetik laporan Berita Vietnam.
Laporan itu menyerlahkan kemajuan ketara Vietnam dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang menggalakkan, menarik peningkatan pelaburan asing dan meningkatkan daya saing ekonomi globalnya.
Negara Asia Tenggara itu mengalami kenaikan 1.7 mata dalam indeks dari 2003 hingga 2023, menandakan peningkatan terbesar dalam kalangan 82 negara yang dinilai, menurut laporan itu.
Menurut EIU, faktor utama di sebalik kenaikan itu termasuk komitmen Vietnam untuk meliberalisasikan ekonominya melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas.
Prianthi Roy, pengurus ramalan negara dan penganalisis Eropah di EIU berkata, "Dalam tempoh lima tahun akan datang, persekitaran perniagaan Vietnam akan terus mengatasi pesaing serantau seperti Indonesia dan Thailand. Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kos buruh yang kompetitif, perjanjian perdagangan yang meluas dan peluang pasaran yang semakin berkembang.
Walaupun Vietnam telah mencatatkan peningkatan dari segi dasar perdagangan dan pelaburan dalam modal insan, prosedur birokrasi yang rumit dan halangan pentadbiran terus menghalang operasi perniagaan, katanya.
-- BERNAMA