Vietnam di landasan tepat bendung COVID-19 - Pegawai WHO

Bernama
Julai 13, 2021 13:19 MYT
Di Vietnam, penularan di kebanyakan wilayah dan bandar pada dasarnya adalah terkawal tetapi beberapa daerah masih menghadapi cabaran. - Reuters
HANOI: Vietnam berada di landasan yang tepat dalam usahanya menangani penularan wabak COVID-19, kata wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Vietnam.
Bercakap kepada media, Dr Kidong Park berkata, WHO percaya dengan kemampuan Vietnam dalam membendung penularan virus yang sedang meningkat, diterajui Jawatankuasa Pemandu untuk Kawalan dan Pencegahan COVID-19.
Menurutnya, penularan di kebanyakan wilayah dan bandar pada dasarnya adalah terkawal tetapi beberapa daerah masih menghadapi cabaran, seperti Bandar Raya Ho Chi Minh yang mencatat lebih banyak kes dan kluster yang tidak diketahui sumbernya.
Menerusi pengesanan menyeluruh dan ujian saringan berskala besar, lebih banyak kawasan jangkitan dikesan, katanya seperti dipetik Agensi Berita Vietnam.
Park mengesyorkan Vietnam menyelaraskan tindakan dengan semua kementerian dan sektor serta pematuhan yang baik oleh masyarakat untuk mengawal penularan wabak dengan lebih berkesan serta pantas.
Beliau juga menekankan kepentingan menerapkan dan memperkuat langkah-langkah kesihatan awam, dan aspek komunikasi selain memperluas liputan vaksinasi COVID-19.
-- BERNAMA
#Vietnam #WHO #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #COVID-19 #pandemik #kesihatan #penularan #virus #Ho Chi Minh
;