Vietnam bakal bangunkan 301 perkampungan kraf menjelang 2030

Bernama
Julai 17, 2022 15:46 MYT
Laporan Persatuan Kampung Kraf Tradisional menunjukkan terdapat lebih 5,400 kampung kraf di seluruh Vietnam. - Facebook Vietnam Handicraft Village
HANOI: Kerajaan Vietnam merancang untuk membangunkan 301 perkampungan kraf tradisional menjelang 2030 di bawah program Pemeliharaan dan Pembangunan Perkampungan Kraf 2021-2030.
Di bawah keputusan yang ditandatangani Timbalan Perdana Menteri Le Van Thanh, dalam tempoh itu, sekurang-kurangnya 129 kraftangan dan 208 perkampungan kraf tradisional akan dipulihkan dan dipelihara untuk merancakkan lagi industri pelancongan, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Program itu bertujuan melindungi nilai dan ciri perkampungan kraf tradisional Vietnam, menggalakkan pengeluaran dan meningkatkan daya saing serta nilai tambah bagi produk kraf.
Selain itu ia turut menyasarkan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan, menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi luar bandar yang mampan.
Dalam tempoh 2021-2030 nilai pengeluaran perkampungan kraf dijangka berkembang 10 peratus secara purata setiap tahun.
Nilai eksport kraftangan yang dihasilkan di kampung kraf diunjurkan mencecah AS$6 bilion.
Laporan Persatuan Kampung Kraf Tradisional menunjukkan terdapat lebih 5,400 kampung kraf di seluruh Vietnam.
Bilangan isi rumah dan pertubuhan perniagaan di kawasan luar bandar menyaksikan peningkatan setiap tahun antara 8.8 dan 9.8 peratus. Nilai pengeluaran di perkampungan kraf juga meningkat kira-kira 15 peratus secara purata setiap tahun.
Menerusi industri kraftangan sahaja telah berjaya menarik kira-kira 1.5 juta pekerja dan menjana nilai eksport tahunan sebanyak US$1.7 bilion.
-- BERNAMA
#Vietnam #industri kraf #pelancongan #perkampungan kraf
;