Vienna bandar terbaik untuk didiami, Baghdad masih yang tercorot
Agensi
Mac 22, 2018 15:02 MYT
Mac 22, 2018 15:02 MYT
VIENNA, ibu negara Austria terus diiktiraf sebagai bandar paling berkualiti untuk menjalani kehidupan, manakala Baghdad, ibu negara Iraq, kekal sebagai yang tercorot.
Bancian tahunan yang dijalankan oleh Firma Perunding Mercer membandingkan kestabilan politik, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, mobiliti, rekreasi dan juga jenayah di 231 buah bandar.
Menurut bancian itu, lapan daripada 10 bandar terbaik dunia terletak di Eropah, termasuk Vienna. Tiga lagi di Jerman dan tiga lagi di Switzerland.
Antara bandar lain yang tersenarai sebagai 10 terbaik ialah di New Zealand, Australia dan Kanada.
Vienna dengan populasi 1.8 juta penduduk itu telah diiktiraf sebagai bandar terbaik dunia sebanyak sembilan kali berturut-turut atas faktor perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, penghidupan budaya tempatan dan juga perumahan mampu milik.
Senarai bandar terbaik dunia itu diikuti oleh Zurich di Switzerland pada tangga kedua, Auckland di New Zealand, dan Munich di German. Vancouver di Amerika Utara turut tersenarai pada tangga kelima.
Catatan terbaik bagi negara Afrika ialah Durban di Afrika Selatan yang menduduki tangga ke-89 senarai, manakala di Asia pula, Singapura berada pada kedudukan ke-25 dalam senarai bandar terbaik dunia.
Selain Baghdad, antara bandar yang turut tersenarai sebagai kualiti hidup tercorot adalah Bangui, Republik Afrika Tengah di tangga ke-230 dan Sana'a, Yaman di tangga ke-229.
Bancian tahunan Mercer dijalankan bagi membantu syarikat-syarikat dan organisasi mengenal pasti jumlah pampasan dan elaun sara hidup yang diperlukan oleh pekerja-pekerja mereka yang berkhidmat di luar negara.
#Asia
#Australia
#Baghdad
#German
#Iraq
#jenayah
#Jerman
#kesihatan
#New Zealand
#pendidikan
#politik
#Singapura
#Switzerland