Video tular: 'Kantoi' ketagih ganja, ibu tenyeh serbuk cili ke mata anak
Agensi
April 6, 2022 14:33 MYT
April 6, 2022 14:33 MYT
BERANG dengan anaknya yang baru berusia 15 tahun ketagih ganja, seorang ibu di India bertindak ‘mengajar’ anaknya itu dengan mengikat remaja terbabit pada sebatang tiang.
Tidak cukup dengan itu, menerusi satu video yang tular, wanita tersebut turut dilihat beberapa kali menyapu serbuk cili itu di mata anaknya.
Anaknya yang kepedihan juga dilihat menjerit kesakitan sambil berulang kali menolak tangan ibunya itu.
Selain itu, ibu remaja terbabit turut meminta bantuan seorang lagi wanita yang berada di situ untuk memegang tangan anaknya bagi ‘memudahkannya' menenyeh serbuk cili ke mata anaknya itu.
Cubaan beberapa orang jiran yang bersimpati meminta supaya wanita itu menuang air di mata anaknya itu turut tidak dihiraukan.
Video insiden tersebut tular telah mendapat lebih 364,400 tontonan di Twitter ketika artikel ini ditulis dalam kejadian yang berlaku di Kodad di daerah Suryapet Telangana, di selatan India.
Agensi berita India, IANS melaporkan wanita itu bertindak sedemikian selepas mengetahui ketagihan ganja melibatkan anaknya itu.
Dia hanya melepaskan anaknya selepas anaknya berjanji untuk berhenti menghisap ganja dan mengambil dadah.
Walaupun menyapu serbuk cili ke mata anak mungkin bukan perkara baharu di Telangana, ramai yang mempersoalkan keberkesanan kaedah hukuman itu.
Beberapa pengguna media sosial di India berkata cara menghukum seperti itu mungkin tidak lagi produktif.
Insiden itu berlaku di sebalik laporan masalah penagihan dadah yang semakin meningkat dalam kalangan belia di India dan usaha berterusan pihak berkuasa untuk menangani masalah itu.