Video tebusan Jepun dibunuh mungkin sahih - Shinzo Abe
AFP
Januari 25, 2015 11:27 MYT
Januari 25, 2015 11:27 MYT
Video yang menunjukkan pembunuhan seorang tebusan berwarganegara Jepun oleh kumpulan militan negara Islam (IS) adalah berkemungkinan sahih, kata Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
"Kami telah mengkaji keaslian video tersebut, namun pada masa ini apa yang boleh kami katakan kredibiliti video tersebut adalah tinggi.
"Saya kelu dalam masa yang sama memikirkan rasa hiba dan sedih kepada keluarga mangsa.
"Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan keganasan seperti ini. Ia amat keterlaluan dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada stesen TV NHK.
Menurut Abe, kerajaan akan terus menganalisis imej untuk mengesahkan sepenuhnya kesahihan video itu.
Rakaman hampir tiga minit itu disiarkan secara atas talian pada Sabtu, menunjukkan satu imej pegun Kenji Goto memegang foto yang menunjukkan mayat Haruna Yukawa, dengan rakaman audio di mana Goto menyuarakan permintaan kumpulan IS untuk pertukaran tahanan bagi menjamin pembebasannya.
Video berkenaan tidak disiarkan di mana-mana saluran rasmi kumpulan itu dan turut dilihat tidak mengandungi bendera hitam dan putih mereka. Pembunuhan Yukawa juga tidak ditunjukkan.
Sebelum ini, kumpulan militan IS telah meminta Jepun membayar wang pampasan AS$200 juta.