'Video penggeledahan bangkai MH17 menjengkelkan' - Julie Bishop
AFP
Julai 17, 2015 18:12 MYT
Julai 17, 2015 18:12 MYT
Australia menyifatkan tindakan Sydney’s Daily Telegraph menerbitkan sebuah video yang memaparkan sekumpulan pemberontak Ukraine yang dikatakan disokong pihak Rusia menggeledah bagasi penumpang pesawat Penerbangan Malaysia, MH17, yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas, sebagai menjengkelkan.
Menteri Luar, Julie Bishop berkata video yang diterbitkan pada ketika genap setahun selepas kejadian itu, 'menjengkelkan' untuk ditonton dan ianya sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana hanya didedahkan sekarang.
“Video itu juga konsisten dengan maklumat risikan yang kami terima 12 bulan yang lalu, bahawa pesawat MH17 telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu dari darat ke udara,” katanya.
Suratkhabar itu mendakwa bahawa video itu telah diseludup keluar dari khemah pemberontak di Donetsk dan hanya diperolehi minggu ini.
Ia juga mendakwa video itu diambil oleh pemberontak itu sendiri, apabila pada awalnya mereka menyangka telah menembak jatuh jet pejuang tentera udara Ukraine.
Video itu merekodkan dengan jelas kekecewaan mereka kerana mereka kemudiannya mengenal pasti pesawat itu adalah sebuah pesawat komersial.
Video itu juga menunjukkan kumpulan pemberontak berpakaian seragam tentera sedang memegang senjata dan berjalan sambil memeriksa bagasi dari pesawat itu.
Turut diterbitkan percakapan dari video itu yang diterjemah dari Bahasa Rusia dan Ukraine ke Bahasa Inggeris, yang menunjukkan mereka mencari bukti siapa yang berada di dalam pesawat itu.
Video itu diterbitkan serentak dengan satu upacara peringatan mangsa-mangsa tragedi MH17 yang di adakan di Canberra hari ini, dan dihadiri oleh 120 orang keluarga mereka yang terbabit.