Video orang utan 'gergasi' di Kalimantan Timur tarik perhatian netizen
Bernama
Julai 9, 2024 22:10 MYT
Julai 9, 2024 22:10 MYT
JAKARTA: Video tular seekor orang utan 'gergasi' di bawah pokok di daerah Kutai Timur, Kalimantan Timur telah menarik perhatian meluas pengguna media sosial.
Rakaman berdurasi 17 saat itu menunjukkan orang utan berkenaan berdiri sambil menggenggam dahan pokok dan dengan tenang memakan buah berhampiran sebuah rumah di tepi jalan.
Lokasi sebenar kejadian masih tidak diketahui kerana pemuat naik asal telah memadam video berkenaan, menyukarkan usaha bagi Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Alam Kalimantan Timur.
Media tempatan melaporkan bahawa ketua agensi berkenaan, Ari Wibawanto menyatakan bahawa orang utan jantan yang telah berusia itu mungkin kelihatan lebih besar kerana sudut kamera.
Beliau berkata: "Orang utan tanpa kawasan yang dikuasainya sering merayau ke kawasan kediaman atau jalan raya untuk mencari pasangan atau makanan."
Penampakan itu telah mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen mengenai orang utan berhampiran penempatan manusia, menyoroti kebimbangan alam sekitar bagi spesies yang terancam berkenaan.
Dalam inisiatif berkaitan, pada November 2023, Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Kalimantan Tengah dan Kalimantan Timur melepaskan 12 orang utan yang telah dipulihkan ke alam liar daripada kemudahan yang dikendalikan oleh "Borneo Orangutan Survival Foundation".
Orang utan ditemui secara eksklusif di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia, serta Sabah dan Sarawak di Malaysia, termasuk spesies seperti Pongo pygmaeus, Pongo abelii, dan Pongo tapanuliensis.
-- BERNAMA