Video dihina pelanggan viral, pekerja kurang upaya tekad berhenti kerja

Kohilah Sekaran
Jun 8, 2016 08:02 MYT
Seorang tukang bersih yang dimarahi seorang pelanggan wanita di sebuah medan selera di Singapura minggu lalu, mengambil keputusan untuk berhenti kerja, selepas insiden itu menjadi viral. - Foto YouTube
SEORANG tukang bersih yang dimarahi seorang pelanggan wanita di sebuah medan selera di Singapura minggu lalu, mengambil keputusan untuk berhenti kerja, selepas insiden itu menarik perhatian orang ramai.
Png Lye Heng, 64, yang cacat pendengaran dan bisu, berkata kepada pihak media pada Isnin, bahawa dia merancang untuk berhenti kerja di medan selera tersebut bulan ini akibat kejadian itu.
Menurut portal Singapore Times, satu temu bual dijalankan pada Isnin bersama Png dengan menggunakan soalan bertulis dan gerak isyarat.
Menurut Png, walaupun dia tersinggung dengan tindakan wanita itu, tetapi dia telah memaafkannya.
Dalam satu kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu, seorang wanita, yang telah dikenal pasti sebagai Alice Fong, telah menengking Png kerana membersihkan makanannya sebelum dia selesai makan.
Insiden itu berlaku di sebuah medan selera di pusat membeli-belah Jurong, Singapura.
Sebuah video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook Euphemia Lee, menunjukkan wanita itu kemudian memarahi pengurus syarikat yang tampil memohon maaf atas kesilapan kaki tangannya.
Namun, wanita itu dilihat menghina pegurus itu kerana mengambil pekerja istimewa untuk berkerja di situ.
"Jika dia (pembersih) pekak, suruh dia pulang ke rumah dan tidur. Tidak perlu kerja. Itu untuk Kerajaan menjaganya. Keluar dan jadi pengemis, saya tidak kisah, dia ambil makanan saya!" jerit wanita berkenaan.
Video itu sekali gus menjadi viral di media sosial, dan mencetuskan kemarahan netizen.
Pengguna media sosial menyifatkan tindakan wanita itu keji dan memalukan.
Kredit gambar: Media sosial/Facebook
Menurut pengurus itu yang hanya mahu dikenali sebagai Steven, Png sudah bekerja di medan selera itu selama setahun.
“Sejak kejadian itu menjadi viral, Png sering didekati oleh beberapa pelanggan dan pihak media di medan selera itu.
“Apabila orang ramai bercakap pasal diri anda, sudah pasti ia akan menimbulkan perasaan tidak selesa," kata Steven.
Tambah Steven, Png merupakan seorang yang penyabar dan pandai menangani kerenah pelanggannya.
Malah, Png juga menolak cadangan syarikat itu apabila dia diminta memakai lencana yang menunjukkan beliau kurang sempurna.
Menurut beberapa portal media Singapura, wanita iu kemudian memohon maaf kepada Png atas tindakannya.
#dimarah #Kini Trending #Png Lye Heng #Sigapura #viral
;