Video 'deepfake' Prabowo jadi bahan perdaya rakyat Indonesia
Agensi
Mac 2, 2025 15:18 MYT
Mac 2, 2025 15:18 MYT
Video penipuan menggunakan teknologi 'deepfake' berjaya memperdayakan ribuan rakyat Indonesia. - Bernama
JAKARTA: Dengan mengenakan songkok dan pakaian tradisional Indonesia, Presiden Prabowo Subianto bertanya kepada rakyatnya apakah bentuk bantuan yang boleh diberikan selepas pemilihannya tahun lalu.
Ringkasan AI
- Video deepfake yang menunjukkan Presiden Prabowo Subianto menawarkan bantuan kewangan telah memperdayakan rakyat Indonesia di 20 wilayah, meminta mereka membayar "yuran pengurusan" untuk bantuan yang tidak wujud.
- Pakar telah memberi amaran tentang peningkatan penipuan menggunakan teknologi kecerdasan buatan sejak pilihan raya Indonesia tahun lalu, termasuk audio, imej, dan video palsu.
- Polis telah menahan seorang suspek yang mengaut 65 juta rupiah daripada penipuan ini, dan platform seperti TikTok telah mengalih keluar video penipuan serta akaun yang berkaitan.
"Siapa yang belum menerima bantuan daripada saya? Apakah keperluan anda sekarang?" Prabowo bertanya kepada penonton dalam sebuah klip yang dimuat naik di Instagram.
Walaupun ia kelihatan seperti benar, video itu hanyalah sebahagian daripada penipuan menggunakan teknologi deepfake yang didedahkan pihak polis, yang telah berjaya memperdayakan rakyat Indonesia di 20 wilayah.
Mereka yang terjerat dengan mesej itu diminta menghubungi nombor WhatsApp dan menyerahkan antara 250,000 dan satu juta rupiah sebagai "yuran pengurusan" untuk mendapatkan bantuan yang tidak kunjung tiba.
Sejak pilihan raya Indonesia tahun lalu, pakar telah memberi amaran tentang gelombang penipuan termasuk audio, imej dan video yang kelihatan datang daripada orang yang dikenali tetapi sebenarnya menggunakan teknologi kecerdasan buatan.
"Orang ramai harus lebih berhati-hati. Jangan mudah terpedaya dengan tarikan hadiah," kata Aryani, 56, yang mengeluarkan 200,000 rupiah selepas terpedaya dengan video palsu seorang ahli perniagaan terkemuka Indonesia.
Semasa kempen pemilihan presiden Indonesia, deepfake menjadi teknologi penting untuk menyebarkan maklumat dan membantu calon.
Tetapi kini teknologi itu jatuh ke tangan individu yang menggunakannya untuk kepentingan sendiri.
AFP melaporkan puluhan video serupa yang menunjukkan beberapa tokoh berprofil tinggi, termasuk Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, turut muncul dengan menggunakan teknologi yang sama dan mempromosikan bantuan kewangan palsu.
Februari lalu, polis telah menahan seorang suspek yang mengaut 65 juta rupiah daripada kegiatan penipuan itu.
Bagaimanapun, masih banyak video palsu presiden dan tokoh-tokoh terkemuka masih tersebar di media sosial, termasuk puluhan di TikTok dengan hashtag "Prabowo berkongsi berkat".
Satu akaun TikTok dengan lebih 77,000 pengikut mendapat 7.5 juta tontonan pada video palsu Prabowo yang menawarkan bantuan kewangan.
TikTok memaklumkan pihak mereka telah mengalih keluar salah satu video penipuan deepfake dan akaun yang berkaitan, dan akan terus berbuat demikian terhadap mana-mana akaun yang melanggar garis panduan komuniti platform. - Agensi