Victoria diisytihar darurat, perintah berkurung waktu malam mula dilaksanakan

Agensi
Ogos 2, 2020 18:07 MYT
Andrews turut memaklumkan terdapat pengumuman susulan tentang pelaksanaan tersebut di tempat kerja pada Isnin termasuk beberapa penutupan beberapa sektor. - Gambar REUTERS
WILAYAH Victoria di Australia kini diisytiharkan darurat sebagai langkah terbaharu perintah berkurung di seluruh Melbourne bermula Ahad malam.
Terbaharu, perintah berkurung pada waktu malam antara 8 malam sehingga 5 pagi akan dilaksanakan di seluruh Melbourne.
Menurut Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews, pelaksanaan tersebut membolehkan pihak polis mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang ingkar kepada arahan tersebut.
"Susulan itu, perintah duduk di rumah di Melbourne juga akan diperketatkan. Hanya empat alasan sahaja yang membenarkan untuk keluar rumah.
"Anda tidak lagi dibenarkan untuk keluar rumah atau berada jauh dari rumah sehingga lima kilometer. Anda juga tidak boleh berada sejauh lima kilometer dari rumah untuk alasan membeli barangan keperluan.
"Hanya seorang sahaja wakil dari setiap rumah yang dibenarkan untuk membeli barangan setiap hari," katanya dalam sidang media harian di Melbourne pada Ahad.
Perintah tersebut dilaksanakan susulan terdapat penambahan 651 kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan pada Sabtu termasuk tujuh kematian.
Penambahan ini antara angka tertinggi yang direkodkan sejak wilayah itu melaksanakan perintah berkurung sejak enam minggu lalu.
Andrews turut memaklumkan terdapat pengumuman susulan tentang pelaksanaan tersebut di tempat kerja pada Isnin termasuk beberapa penutupan beberapa sektor.
Bagaimanapun, pihaknya tetap memberi jaminan sektor utama seperti pasar raya yang menjual barangan keperluan asas tidak akan terjejas.
#Australia #COVID-19 #Daniel Andrews #darurat #Melbourne #perintah berkurung #Victoria
;