Veteran Perang Dunia Kedua pecah rekod sendiri sebagai penyelam skuba tertua di dunia

Agensi
September 2, 2018 13:50 MYT
Woolley berbangga dapat meneruskan aktiviti tersebut pada usia 95 tahun. - Reuters
Seorang veteran Perang Dunia Kedua berusia memecahkan rekod sendiri pada Sabtu sebagai penyelam skuba tertua di dunia, selepas membuat selaman di sebuah lokasi kapal karam di perairan Cyprus.
Ray Woolley, yang pada 28 Ogos lalu berusia 95 tahun, sebelum ini merupakan pemegang rekod sebagai penyelam skuba tertua dunia yang masih aktif.
Pada Sabtu, beliau menyelam selama 44 minit pada kedalaman 40.6 meter, menandingi rekod sebelumnya iaitu 41 minit dan 38.1 meter, ketika berusia 94 tahun.
“Kita berjaya lakukannya. Saya rasa hebat. Sangat istimewa apabila dapat memecahkan rekod sekali lagi dan saya harap jika saya terus cergas, saya akan pecahkan rekod lagi bersama anda tahun depan,” ujar Woolley yang sudah menyertai aktiviti itu selama 58 tahun.
Woolley dan puluhan lagi penyelam meneroka lokasi selaman bangkai kapal kargo Zenobia yang karam kira-kira 2 kilometer di perairan berdekatan bandar Larnaca pada tahun 1980.
Lokasi selaman kapal Zenobia itu amat popular hingga menerima kira-kira 60,000 kunjungan penyelam setiap tahun.
Woolley yang berasal dari Port Sunlight, England dan kini bermastatutin di Cyprus, berkata dia pernah mengunjungi lokasi selaman itu pada tahun 1982.
"Saya sekadar mahu membuktikan pada diri saya, dan juga orang lain, bahawa bersenam itu amat penting terutamanya apabila sampai ke lingkungan usia seperti saya,” ujarnya.
#Cyprus #penyelam skuba tertua #ray woolley #rekod dunia #selam skuba #veteran perang
;