Veteran Perang Dunia Kedua berusia 96 tahun ini akhirnya jadi graduan pada 2020
Agensi
Ogos 1, 2020 09:18 MYT
Ogos 1, 2020 09:18 MYT
Pada usia 96 tahun, Giuseppe Paterno pernah berdepan pelbagai ujian getir hidup – kemiskinan sewaktu kecil, peperangan, dan yang terbaru, pandemik koronavirus. Kini, dia telah berjaya menduduki peperiksaan yang menjadikannya graduan universiti paling tua di Itali.
Minggu ini, bekas pekerja landasan kereta api itu bangga menerima ijazah dan juga pingat penghargaan tradisional yang dianugerah kepada penuntut apabila mereka menamatkan pengajian.
Momen itu telah diraikan oleh oleh ahli keluarga, guru dan rakan-rakan penuntut yang 70 tahun lebih muda daripadanya.
"Saya orang normal, seperti orang lain. Dari aspek usia, saya melebihi yang lain, tapi tidak lakukannya untuk ini,” ujarnya pada Reuters.
Paterno dalam usia 90-an ketika mula mendaftar untuk program ijazah sarjana muda Sejarah dan Falsafah di University of Palermo. Dia amat menyukai buku sewaktu membesar, namun tidak pernah berpeluang untuk melanjutkan pengajian.
"Saya berkata ‘sama ada sekarang, atau takkan lagi’, maka pada tahun 2017, saya mengambil keputusan untuk mendaftar.
“Saya faham, ini agak terlambat untuk mengikuti ijazah selama tiga tahun, namun saya tanya pada diri, ‘cuba dulu kalau saya boleh buat’,” ujarnya yang ditemui dalam apartmennya di Palermo, Sicily, yang kini amat jarang ditinggalkannya kerana keuzurannya.
Pada Rabu lalu, dia menamatkan pengajian dan memperoleh kepujian serta muncul sebagai penuntut terbaik dalam kuliahnya, selain menerima menerima ucapan tahniah daripada canselor universiti, Fabrizio Micari.
Membesar dalam sebuah keluarga miskin di Sicily pada tahun-tahun sebelum Zaman Kemelesetan Besar, Paterno hanya sempat ke sekolah asas sewaktu kecilnya. Dia kemudian menyertai pasukan tentera laut sewaktu Perang Dunia Kedua, dan kemudiannya bekerja di landasan kereta api sejurus berkahwin. Dia memiliki dua orang anak.
Dalam masyarakat yang memberi tumpuan pada usaha membina semula negara selepas peperangan, kerja dan keluarga adalah keutamaan. Namun, Paterno mahu meneruskan pembelajaran dan akhirnya tamat sekolah menengah pada usia 31 tahun.
"Ilmu pengetahuan seperti beg bimbit yang saya bawa, ia adalah harta,” katanya.
Sebagai penuntut, dia menghasilkan esei menggunakan mesin taip pemberian ibunya apabila dia bersara dari kerja di landasan pada tahun 1984. Dia juga tidak menyukai Google, sebaliknya memilih untuk membuat rujukan menerusi buku bercetak. Untuk berparti lewat malam seperti rakan kuliah lain yang lebih muda, jauh sekali.
"Anda adalah contoh bagi penuntut yang lebih muda,” ujar profesor bidang sosiologi, Francesca Rizzuto.
Paterno mengakui sedikit ‘kurang senang’ dengan kaedah panggilan video yang menggantikan pembelajaran secara langsung dalam dewan kuliah semasa perintah berkurung akibat COVID-19. Begitupun, menurutnya, dia tidak begitu bimbang dengan penyakit itu selepas pernah mengharungi peperangan dan segala yang lain sepanjang hayatnya.
"Semua itu membuatkan kami lebih kuat, semua yang masih hidup. Ia tidak begitu menakutkan kami,” ujarnya.
Ditanya apa lagi yang akan dilakukannya, Paterno menjawab, dia tidak akan berhenti selepas menamatkan pengajian.
"Projek saya untuk masa depan adalah untuk mengabdikan diri dalam penulisan. Saya mahu membaca semula teks yang saya belum terokai lebih lanjut. Ini cita-cita saya!”
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Giuseppe Paterno
#graduan
#Itali
#Palermo
#SantaiHujungMinggu
#shm
#veteran perang dunia kedua
#warga emas