Venice kekalkan caj masuk lebih tinggi pada waktu puncak

Bernama
Julai 12, 2024 18:47 MYT
Venice adalah antara bandar yang paling banyak dikunjungi di dunia dengan anggaran 15 juta pelawat setiap tahun. - Gambar/ Reuters
ROME: Venice akan terus mengenakan yuran kemasukan bagi pengunjung harian apabila tempoh percubaan untuk caj itu berakhir hujung minggu ini.
Bandar ini akan mengambil kira permintaan penetapan harga baharu dan menggandakan caj dari EUR5 (US$5.4) hingga maksimum EUR10 ketika waktu puncak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan Ahli Majlis perbandaran Michele Zuin kepada sebuah akhbar tempatan.
Tempoh percubaan hampir sebulan itu telah menyumbang lebih EUR2 juta (US$2.1 juta) dana perbandaran. Dalam tempoh beberapa hari, bandar itu telah merekodkan kemasukan lebih 25,000 pelawat.
Zuin, menerusi sesi wawancara dengan Il Gazzettino berkata mulai 2025, kadar asas akan dikenakan kepada pelawat harian pada waktu tertentu. Bagaimanapun, pelawat perlu membayar kadar maksimum EUR10 apabila tiba waktu puncak.
Sepanjang tempoh percubaan, caj masuk sebanyak EUR5 dikenakan antara 8.30 pagi (0630 GMT) hingga 4 petang. Pelawat boleh mengakses kod QR melalui internet dan memuat turun ke telefon bimbit bagi membuat pembayaran.
Venice adalah antara bandar yang paling banyak dikunjungi di dunia dengan anggaran 15 juta pelawat setiap tahun.
-- BERNAMA
#Venice #bayaran masuk #Itali #Pelancong asing
;