Venice berkabung selepas 21 maut dalam nahas bas

Astro Awani
Oktober 4, 2023 07:00 MYT
Jambangan bunga diletakkan di tapak kejadian nahas melibatkan sebuah bas di Venice, Itali. - Foto REUTERS
VENICE: Bendera berkibar separuh tiang di Venice selama tiga hari sehingga Jumaat selepas 21 orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh apabila sebuah bas terbabas di atas jejantas dan terbakar.
Komander Bomba Venice, Mauro Luongo berkata, bas itu terbalik dan impaknya amat dahsyat kerana ia jatuh dari lebih 10 meter dan mendarat di sebelah landasan kereta api di bawah.
Mangsa yang maut dipercayai kebanyakannya pelancong yang dalam perjalanan pulang dari pusat bersejarah Venice ke tapak perkhemahan pada petang Selasa.
Seramai 15 yang lain cedera dalam apa yang disifatkan oleh Datuk Bandar Venice Luigi Brugnaro sebagai kejadian paling ngeri.
Anggota bomba berkata, bas itu adalah kenderaan elektrik, walaupun Menteri Dalam Negeri Itali sebelum ini berkata, ia menggunakan metana.
Petugas kecemasan mengambil masa beberapa jam untuk mengeluarkan mayat dari bas yang rentung, yang akhirnya dikeluarkan dari tapak kejadian pada awal pagi Rabu.
Sementara itu, Gabenor Wilayah Venice, Luca Zaia, berkata kesan kebakaran adalah antara penyebab operasi mengambil masa lebih lama untuk mengeluarkan kenderaan itu.
Beliau mengesahkan angka kematian rasmi ialah 21, termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun dan seorang remaja.
Lima warga Ukraine adalah antara yang maut yang dikenal pasti setakat ini, bersama seorang warga Jerman, seorang warga Croatia, seorang warga Perancis dan pemandu warga Itali.
Katanya, lima daripada 15 yang cedera berada dalam keadaan yang sangat serius dan ada yang masih belum dikenal pasti identiti mereka.
Anggota bomba berkata, bas itu terbakar di atas jejantas yang merentasi laluan kereta api dan menghubungkan tanah besar Mestre dan daerah Marghera di Venice di utara Itali.
Zaia berkata, bendera di bangunan rasmi di rantau ini akan dikibarkan separuh tiang kerana tragedi yang besar ini.
Mengenai puncanya, Zaia berkata hipotesis utama pada masa ini ialah pemandu bas mungkin jatuh sakit.
Penyiasat sedang menganalisis kamera pengawasan dari kawasan itu sebagai sebahagian daripada siasatan mereka terhadap apa yang berlaku.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni turut mengucapkan takziah kepada kekaurga mangsa.
Sebelum ini, pada Julai 2018, sebuah bas yang membawa sekumpulan kira-kira 50 pelancong pulang ke Naples terjatuh dari jejambat berhampiran bandar itu dan membunuh 40 orang kesemuanya.
#berkabung #bendera separuh tiang #nahas bas #siasatan
;