Venezuela kerah 5,600 tentera selepas Britain hantar kapal perang ke Guyana

Bernama
Januari 1, 2024 15:50 MYT
Maduro mengarahkan angkatan bersenjata kebangsaan Bolivarian untuk mengambil tindakan pertahanan bersama di luar pantai Essequibo. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Presiden Nicolas Maduro mengarahkan pergerakan lebih 5,600 tentera Venezuela sebagai tindak balas terhadap penempatan kapal perang Britain ke pantai Guyana yang menyebabkan ketegangan di wilayah yang kaya dengan minyak itu, lapor United Press International (UPI).
Beliau berkata penghantaran kapal perang itu dilihat sebagai isyarat sokongan kepada bekas tanah jajahan British itu yang mendorong Venezuela untuk meletakkan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga.
"Ini sebagai tindak balas kepada provokasi dan ancaman United Kingdom terhadap keamanan dan kedaulatan negara kami," kata Maduro.
Menurut Presiden penempatan kapal Britain itu membelakangkan semangat dialog, diplomasi dan ikrar untuk keamanan serta secara praktikalnya adalah ancaman ketenteraan dari London.
Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Maduro berkata beliau mengarahkan angkatan bersenjata kebangsaan Bolivarian untuk mengambil tindakan pertahanan bersama di luar pantai Essequibo.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai pergerakan itu.
"Kami percaya dalam diplomasi, dialog dan keamanan. Tetapi tiada siapa yang harus mengancam Venezuela, tiada siapa yang harus mengganggu Venezuela. Ancaman ini tidak boleh diterima oleh mana-mana negara yang berdaulat," katanya.
Pada 24 Dis, Kementerian Pertahanan Britain mengumumkan penempatan kapal HMS Trent di Guyana sebagai sebahagian daripada siri penglibatannya di rantau itu.
Kontroversi itu tercetus selepas Maduro mengumumkan rancangan untuk memanfaatkan rizab minyak di wilayah Essequibo, yang lazimnya diakui sebagai tanah milik Guyana.
Bagaimanapun, Venezuela memperbaharui tuntutannya terhadap kawasan seluas 62,000 batu persegi berikutan penemuan besar minyak dan gas dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pertikaian semakin 'hangat' baru-baru ini selepas rakyat Venezuela menerusi undian menyokong untuk menukar wilayah Essequibo menjadi sebuah negeri baharu bagi Venezuela selain meluluskan langkah untuk menghalang mahkamah keadilan antarabangsa daripada campur tangan.
Awal bulan ini, Guyana dan Venezuela menandatangani perjanjian untuk mengelak konflik ketenteraan berikutan ketegangan yang meningkat.
-- BERNAMA
#Venezuela #kapal perang #Britain #Guyana
;