Venezuela dijangka benarkan AS hantar pulang rakyatnya yang merupakan pendatang tanpa izin
Bernama
Februari 1, 2025 21:52 MYT
Februari 1, 2025 21:52 MYT
MOSCOW: Pihak berkuasa Venezuela dijangka membenarkan Amerika Syarikat (AS) menghantar pulang pendatang tanpa izin yang telah diusir terus ke negara itu, lapor Bloomberg pada Sabtu, memetik sumber yang mengetahui perkara berkenaan, menurut Sputnik/RIA Novosti.
Pada Jumaat, Presiden Venezuela Nicolas Maduro bertemu dengan utusan khas Presiden AS Donald Trump, Richard Grenell di Caracas. Menurut sumber, dalam pertemuan itu, Maduro bersetuju untuk menerima beberapa penerbangan membawa pendatang merupakan rakyat Venezuela yang dihantar pulang.
Pada hari sama, Utusan Khas AS bagi Amerika Latin, Mauricio Claver-Carone, menyatakan bahawa Trump mengharapkan Maduro menerima kepulangan semua "penjenayah Venezuela" dari AS tanpa sebarang syarat.
Pada 29 Jan, media AS melaporkan bahawa Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS Kristi Noem telah menamatkan lanjutan permit tinggal sementara bagi lebih 600,000 warga Venezuela, sekali gus menamatkan perlindungan daripada tindakan pengusiran yang diberikan oleh pentadbiran terdahulu.
Pada masa sama, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS Tom Homan berkata pihak berkuasa imigresen negara itu telah mengusir lebih 4,000 pendatang tanpa izin dalam tempoh seminggu sejak operasi serbuan bermula.
Selepas mengangkat sumpah jawatan pada 20 Jan, Trump menegaskan bahawa beliau akan segera menghentikan kemasukan pendatang tanpa izin ke AS serta memulakan proses penghantaran pulang secara besar-besaran. Trump turut mengisytiharkan darurat di seluruh negara berhubung situasi di sempadan selatan AS.
-- BERNAMA
#pendatang tanpa izin
#rakyat venezuela
#Amerika Syarikat
#hantar pulang
#Nicolas Maduro
#Richard Grenell