Varian Omicron: Tujuh kes dikesan, laluan bas di bandar China digantung
Astro Awani
Januari 16, 2022 09:00 MYT
Januari 16, 2022 09:00 MYT
ZHUHAI: Bandar Zhuhai di selatan China menggantung sementara laluan bas awamnya selepas sekurang-kurangnya tujuh kes varian Omicron dikesan.
Pada masa sama, pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk supaya tidak keluar meninggalkan bandar berkenaan.
Bandar pesisir pantai bersempadan hab perjudian, Macau itu mengesan varian Omicron pada seorang pesakit yang mengalami gejala ringan serta enam yang lain tanpa gejala.
Ia dikesan selepas ujian saringan besar-besaran dilakukan susulan kes jangkitan di wilayah berhampiran.
China sedang memerangi beberapa wabak COVID-19, termasuk daripada varian Omicron, ketika negara itu meningkatkan tindakan waspada terhadap penularan virus menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing bulan depan.
Berjuta-juta penduduk di seluruh negara sudah diarah tinggal di rumah sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan banyak penerbangan domestik dibatalkan manakala kilang pula ditutup.
Pihak berkuasa Zhuhai sudah meminta penduduk mengelak daripada keluar meninggalkan bandar kecuali bila perlu, dengan mereka diwajibkan menunjukkan keputusan negatif ujian COVID-19 dalam tempoh 24 jam sebelumnya.
Bandar itu melakukan ujian saringan besar-besaran terhadap 2.4 juta penduduknya semalam selepas kes COVID-19 dikesan di wilayah sempadan, Zhongshan, awal minggu ini.
Perniagaan termasuk salun kecantikan, pusat judi, gimnasium dan pawagam diarah tutup kelmarin, dengan pihak berkuasa mengumumkan penggantungan laluan bas awam di beberapa bahagian bandarnya.
China berjaya mengekalkan kes COVID-19 yang rendah sejak penularan wabak, menerusi strategi sifar jangkitan iaitu dengan melaksanakan ujian saringan besar-bsaran serta penutupan ketat sekiranya jangkitan dikesan.
Namun, varian Omicron yang cepat menular menguji strategi itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini, selepas varian terbabit dikesan muncul di bandar pelabuhan, Tianjin, berhampiran Beijing, sebelum merebak ke pusat bandar, Anyang.